Kie Chee (tengah) dibantu Joe Pei (kiri) dan kakitangan UU M ketika menemani cucunya mendaftar sebagai penuntut UU M. - Foto oleh MOHAMMAD DANIEL MAT SALIM |
SINTOK - Seorang nenek yang bangga dengan cucunya kerana berjaya menjejakkan kaki ke menara gading, menyanyikan lagu Lenggang Kangkung ketika cucu lelakinya itu mendaftar sebagai penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM).
Tan Kie Chee, 92, menyanyikan lagu rakyat itu kepada Khor Joe Pei, 20, ketika si cucu mendaftar nama di Dewan Penginapan Pelajar (DPP) TM pagi kelmarin.
Ketika ditemui, wanita yang sentiasa tersenyum dan gemar berjenaka itu berkata, dia menemani cucunya yang mengambil Program Hal Ehwal Antarabangsa di kampus berkenaan.
"Saya tidak pernah berpisah dengannya dan inilah kali pertama berpisah tetapi saya suka dia belajar di universiti ini," katanya.
Bagi si cucu, walaupun berat untuk berpisah dengan nenek yang tinggal bersamanya, tetapi demi untuk menggenggam segulung ijazah, dia rela.
Bagaimanapun, pemuda itu mengakui tidak akan melupakan gurau senda bersama neneknya setiap kali bangun tidur dan kini temannya ialah rakan-rakan di UUM.
Joe Pei adalah antara 4,010 pelajar yang ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di kampus ini.
Sementara itu, tinjauan sekitar pendaftaran di kampus, sempat merakamkan gambar Pengetua DPP TM, Faisal Zulhumadi dan jawatankuasa Majlis Suai Kenal membantu Kie Chee masuk ke dewan pendaftaran sementara menunggu cucunya mendaftar.
Sumber: Sinar Harian