NGO Gesa PDRM Bertindak Segera Sebelum "Nasi Menjadi Bubur"

Presiden Pertubuhan Min­da dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan segera dalam menangani tindakan Editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown yang didakwa mempunyai komplot menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum terlambat.

Presiden Pertubuhan Min­da dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao berkata, setakat ini sudah banyak bukti yang boleh dilihat dengan jelas bahawa usaha Brown itu melibatkan orang dalam negara.

“Saya agak kesal mengapa PDRM sehingga kini tidak bertegas menggunakan kuasa mereka untuk menyiasat dan seterusnya menyelesaikan masalah ini. Banyak bukti kukuh yang ditonjolkan oleh Brown dan ia boleh dijadikan asas kepada siasatan lanjut.

“PDRM tidak seharusnya memberi pelbagai alasan tetapi terus mengambil tindakan sebelum segalanya terlambat. Isu ini akan memberi kesan yang besar kepada negara seolah-olah sangat mudah ditembusi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau mengulas pendedahan tentang Brown yang didakwa mempunyai hubungan yang akrab dengan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen DAP, Tony Pua serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Selain itu, Brown juga dilihat bersubahat dengan berkomplot bersama beberapa pihak menentang Malaysia dan berhasrat ‘mengubah masa depan sebuah negara’ dengan menjatuhkan Najib.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan, Faizan Mohd. Noor berkata, komplot berkenaan sebenarnya sudah lama terbentuk apabila melihat kembali pergerakan ketiga-tiga individu yang didakwa mempunyai hubungan akrab dengan Brown.

“Mereka ini mempunyai agenda yang besar dan komplot itu sudah lama terbentuk untuk menjatuhkan Perdana Menteri. Lihat sendiri pendedahan yang dibuat oleh Brown yang mengatakan tugasnya selesai apabila Najib tumbang.

“Malaysia tidak akan mudah mendapat campur tangan pihak luar melainkan ada pihak dalaman sendiri yang membuka ruang. Usaha menjatuhkan Najib juga secara jelas menunjukkan wujudnya pihak asing yang menyalurkan dana,” katanya.

Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong, pula berpendapat, PDRM perlu bergerak lebih pantas bagi mengelakkan perubahan maklumat akibat siasatan yang agak lewat dilakukan.

“Semakin lama, pelbagai persoalan akan timbul. Rakyat juga mahukan maklumat terkini dan tepat mengenai masalah yang membingungkan ini tetapi sehingga kini tidak ada jawapan yang memuaskan daripada pihak berkuasa.

“Saya juga mencadangkan agar pihak berkuasa negara mengeratkan hubungan diplomatik dengan Thailand bagi memudahkan siasatan dibuat dengan lebih tepat serta tidak menimbulkan sebarang keraguan,” katanya.

Sumber: Utusan