Nik Abduh Puji Lonjakan Pencapaian Pusat Pengajian Tinggi Awam Negara

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Pemuda PAS dilihat semakin 'mesra kerajaan' sejak akhir-akhir ini apabila menyambut baik peningkatan ranking Universiti Malaya (UM) yang melonjak kepada kedudukan 146 berdasakan rating `QS World University Rankings 2015/2016′.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pihaknya turut memuji Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) kerana masing-masing meningkat kepada kedudukan 289 dan 331.

“Ia menggambarkan status universiti di Malaysia yang semakin baik dan usaha mengangkat martabat akademik di negara ini perlu dipertingkatkan lagi,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Walau bagaimanapun, pembangkang tetap pembangkang apabila Nik Mohamad Abduh turut menegaskan bahawa pencapaian tersebut bagaimanapun perlu diseiringkan dengan peningkatan kualiti pendidikan dan kebajikan kepada para pelajarnya.

Beliau memberi contoh isu pendidikan percuma yang masih belum mendapat reaksi yang positif daripada pihak kerajaan meskipun pelbagai langkah telah dilakukan bagi mengurangkan kos pendidikan yang dikatakan membebankan rakyat.

Nik Mohamad Abduh turut membangkitkan tentang sasaran 24,300 pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan 40,000 pemegang Ijazah Sarjana yang disasarkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-10.

Beliau turut mempersoalkan isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menyebabkan ramai graduan terpaksa menanggung hutang. -Kedahnews.com