Nik Abduh Tegaskan PAS Akan Teruskan Amalan Bai'ah

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – PAS mengingatkan bekas pemimpin parti itu yang menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) bahawa mereka akan dihina Allah SWT kerana memperlekehkan bai’ah yang diikrarkan di atas nama Allah.

Ketua Pemudanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, bai’ah adalah sunnah Rasulullah yang unggul yang menjadi milik perjuangan Islam sejak sekian lama.

Sehubungan itu, katanya, PAS akan terus mengamalkan bai’ah dalam amalan politik parti itu.

“Tiada yang melecehkannya kecuali dihina oleh Allah SWT. Kekallah PAS mengamalkan sunah bai’ah di sepanjang zaman,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Bekas sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengecam hebat amalan bai’ah PAS kerana didakwa lari daripada akidah Islam yang sebenar.

Nik Mohamad Abduh dalam pada itu menegaskan, parti itu akan tetap berpandukan kepada Al-Quran dan Sunah dalam berpolitik walaupun kembali bersama dengan Pakatan Rakyat 2.0.

Tegasnya, ia kerana rakyat Malaysia mencintai Islam sebagai agama untuk dunia dan akhirat mereka.

PKR kini sedang berusaha memujuk PAS menyertai semula gabungan pembangkang selepas disingkirkan pada Jun lalu.

PKR membuat pusingan U untuk kembali bekerjasama dengan PAS kerana bimbang sokongan Melayu ke atas parti itu menurun apabila mendapati perhimpunan Bersih 4.0 hanya didominasi kaum Cina.

Gara-gara terdesak untuk meraih sokongan ahli PAS dan "menyelamatkan" Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, PKR terpaksa mengabaikan bantahan yang dibuat DAP dan Parti Amanah berhubung kerjasama dengan PAS tersebut. -Kedahnews.com