Nor Saidi Nanyan Tamatkan Derita 14 Tahun Gelandangan OKU Di Langkawi


LANGKAWI - Penantian 14 tahun seorang gelandangan orang kelainan upaya (OKU) untuk mencari tempat tinggal yang selesa berakhir hari ini apabila beliau dibenarkan tinggal di sebuah unit flat Taman Dahlia, di sini.

Ali Mohamad, 53, adalah antara tujuh keluarga gelandangan yang menerima kunci ke unit flat tiga bilik itu yang disampaikan oleh Adun Kuah, Nor Saidi Nanyan dalam satu majlis ringkas di sini.

OKU yang mesra dipanggil Pak Ali itu kehilangan kaki kanannya dan terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda berterima kasih kepada kerajaan kerana membantunya setelah hidup lebih sedekad sebatang kara di sebuah bangunan terbengkalai di sini.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Nor Saidi yang begitu prihatin untuk membantu saya selama ini sehinggalah saya diberikan tempat tinggal di sini," katanya.

Sementara itu, Nor Saidi berkata beliau menemui Pak Ali selepas solat di Masjid Al-Hana di sini kira-kira sebulan lepas dan diberitahu tentang keadaan OKU itu yang selama ini hidup dalam keadaan yang daif sekali. 

Menurut Nor Saidi beliau telah membuat lawatan susulan ke bangunan terbengkalai yang menjadi tempat tinggal Pak Ali sebelum membuat permohonan kepada kerajaan negeri yang seterusnya telah meluluskannya dalam tempoh yang agak singkat.

Katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah meluluskan permohonan bagi membolehkan Pak Ali untuk menerima bantuan kewangan bulanan.

"Selain Pak Ali, ada enam buah lagi keluarga gelandangan yang tinggal di bangunan terbengkalai itu turut diberikan keutamaan dan telah mendapat tempat tinggal di Taman Dahlia ini," katanya. - Bernama