Nurul Zahid Jawab Tohmahan Pihak Yang Hentam Status Gelaran Kurnia Sultan


Gara-gara meluahkan kritikan yang terbuku di hati terhadap himpunan jalanan Bersih 4, anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah agak teruk dikecam pihak yang menyokong himpunan tersebut. 

Mungkin tidak mampu menafikan kebenaran yang dinyatakan Nurulhidayah dan enggan mengaku kalah, beliau telah diserang balas pihak tertentu berhubung status peribadinya yang dikurniakan gelaran Datuk.

Ekoran itu, Nurul tampil menerusi laman Instagramnya memberi penjelasan cerita sebenar, sekali gus memperbetulkan segala tuduhan terhadap dirinya berkenaan status tersebut.

Menurut Nurul, gelaran Datuk yang ada pada namanya adalah kurniaan dari Sultan dari sebuah negeri dan ia adalah mengikut budi bicara Sultan tersebut untuk mengurniakan gelaran itu pada seseorang atau tidak.

“Untuk pengetahuan umum, gelaran Dato’ tidak terhad kepada ‘jasa’ apa yang diberikan oleh seseorang kepada sesebuah negeri.

“Ia adalah satu kurniaan daripada Sultan kepada sesiapa sahaja yang Tuanku kehendaki.

Malah kata Nurul lagi, gelaran itu walau merupakan kedudukan status terhormat di negara ini, ia bagaimanapun hanyalah melibatkan gelaran di duniawi sahaja dan Allah lebih melihat kepada amal kebajikan hambaNya di akhirat kelak.

“Walaubagaimanapun, gelaran Dato’ itu adalah gelaran di dunia sahaja. Yang akan mengangkat kita di akhirat kelak adalah pahala daripada amal kebaikan yang kita lakukan semasa hidup.

“Kepada yang menyebarkan fitnah, kita akan berjumpa kelak di mahkamah Allah,” tulisnya membidas pihak yang menabur tohmahan terhadapnya sebelum ini.

Selain itu Nurul turut menegaskan bahawa gelaran Datuk yang diterimanya tiada kena mengena dengan jasanya sebagai Ketua Perbarisan ketika menjadi Askar Wataniah seperti yang diperkatakan ramai.


Sebaliknya, beliau dianugerahkan gelaran itu atas sumbangan dalam kerjayanya sebagai Ketua Komunikasi Korporat di Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Hak bersuara saya dinafikan. Tetapi saya tampil untuk menafikan bahawa saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan bahawa gelaran Dato’ itu adalah kurniaan yang terima kerana menjadi ‘Parade Commander’ atau Ketua Perbarisan dalam satu acara Askar Wataniah.

“Saya tidak pernah membuat kenyataan itu,” tegasnya.

Pada masa yang sama, Nurul turut menempelek segelintir pihak yang mempersoalkan ‘jasa’ yang dilakukan.

Pada masa yang sama, Nurul menyatakan tidak akan sesekali memalukan Askar Wataniah dengan kontroversi gelaran Datuk yang dikaitkan dengan organisasi itu.

Nurul menjadi perhatian ramai selepas dia dilihat lantang bersuara mengkritik peserta perhimpunan haram jalanan Bersih 4.0 sebagai perbuatan sia-sia. -Kedahnews.com