Orang Kampung Di Kepala Batas Merayu Baiki Segera Jalan Rosak

Jalan yang kian terhakis turut merosakkan parit yang terdapat di kampung itu.
ALOR SETAR - Penduduk di Kampung Seri Pasir dan Kampung Simpang Tiga, Kepala Batas, di sini merayu kepada pihak berkenaan supaya dapat membaiki serta menurap jalan di kampung mereka yang semakin rosak.

Difahamkan, beberapa jalan sudah terhakis disebabkan tiada penyelenggaraan dibuat selepas berlakunya banjir.

Penduduk, Zulkifli Mat, 47, berkata, laluan itu sangat penting buat penduduk berikutan ia menjadi laluan untuk ke jalan utama.

Menurutnya, kegagalan pihak berkenaan membaiki laluan yang semakin berlubang itu menyebabkan jalan itu semakin rosak selain wujudnya beberapa lubang.

"Setiap kali kereta lalu jalan di situ, mereka perlu berhati-hati sebab bimbang kereta rosak kalau tayar masuk ke dalam lubang.

"Jalan itu juga semakin terhakis hingga wujudnya perparitan di bawah jalan itu," katanya.

Zulkifli berkata, walaupun hanya laluan kampung, tetapi ia sangat penting jika jalan utama sibuk dengan kenderaan.

"Laluan kampung itu dijadikan jalan alternatif buat penduduk terutamanya yang tinggal di Bukit Pinang," katanya.

Bagi Azman Che Ani, 45, penduduk berusaha membaiki laluan itu selepas jalan dilebarkan untuk orang ramai.

Menurutnya, sebelum ini jalan itu sempit dan selepas pihak berkaitan mengizinkan meluaskan laluan itu, penduduk luar turut menggunakannya.

"Bila tak diselenggara, jalan semakin rosak dan berlubang hingga kami terpaksa tutup lubang dengan tanah ataupun simen.

"Tapi usaha kami gagal dan jalan berlopak terus rosak," katanya.

Azman berkata, penduduk kecewa dengan pihak bertanggungjawab kerana beberapa kampung yang turut berdepan masalah sama sudah pun diselesaikan tetapi di kampung mereka masih lagi berlanjutan.

"Penduduk merayu pihak berkenaan dapat turun padang menurap kembali jalan ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Seri Pasir, Chek Ani Shafie berkata, jalan di kampung itu sudah diturap pada 1994 lagi.

"Sehingga kini jalan itu belum pernah dibaiki atau diturap semula dan ini menyebabkan jalan di situ berlopak serta terhakis hingga pengguna perlu berhati-hati membawa kenderaan mereka.

“Masalah itu pernah diadukan kepada pihak atasan untuk dibaiki tetapi sekarang belum ada sebarang tindakan. Kami berharap masalah penduduk kampung ini juga akan dapat perhatian dari pihak berkenaan supaya dapat membaiki jalan itu,” katanya.

Sumber: Sinar Harian