Bot nelayan yang dihiasi dengan Jalur Gemilang |
KUALA MUDA - "Tak dapat berarak di Dataran Merdeka pun tidak mengapa, janji dapat meraikan kemerdekaan ini dengan cara tersendiri." Demikian kata nelayan di Kuala Muda, Penaga yang mengambil inisiatif sendiri menghiasi bot mereka dengan Jalur Gemilang.
Lebih menarik lagi, nelayan di sini juga turut mengadakan perarakan di tengah-tengah laut ketika sambutan Hari Kemerdekaan lalu.
Othman Zakaria, 47, berkata, walaupun tidak dapat melihat perarakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, ini tidak bermakna mereka tidak dapat meraikannya di kampung.
“Bagi saya siapa sahaja mahu pergi di Dataran Merdeka, namun atas sebab tertentu seperti jarak yang jauh tambahan pula dengan atas faktor kewangan, biarlah kami menyambutnya di sini dengan cara kami tersendiri.
“Bahkan di sini kami menyambutnya dengan meraih apabila sama-sama menghiasi bot dengan Jalur Gemilang,” katanya.
Menurutnya, ini adalah kali pertama mereka meraikan Hari Kemerdekaan dengan melakukan perarakan di tengah-tengah laut.
Sementara itu, penganjur program, Mohd Asri Hussain, 47, berkata, idea untuk melakukan perarakan itu dicetuskan oleh nelayan di sini dengan mendapat sokongan pusat khidmat Adun Penaga.
“Di Kuala Muda ini, kita mempunyai tarikan yang tersendiri iaitu pasar bisik, satu-satunya pasar yang mengamalkan kaedah berbisik, jadi di situ timbul idea untuk meraikan Hari Kemerdekaan di sini.
“Alhamdulillah setelah mengadakan perbincangan dengan beberapa nelayan, mereka bersetuju dan memberikan sokongan sepenuhnya terhadap penganjuran program ini,” katanya.
Perarakan yang disertai 10 bot nelayan itu disempurnakan oleh Adun Penaga, Datuk Zain Ahmad.
Sumber: Sinar Harian