Norazman menunjukkan paip air yang turut dipasang di kaki bukit untuk menyalurkan air ke kediaman mereka |
KULIM - Kira-kira tujuh keluarga yang telah tinggal selama 33 tahun di Kampung Batu 10, di sini hanya bergantung kepada sumber air dari bukit yang berada kira-kira 200 meter dari kediaman mereka.
Penduduk, Faizal Awang, 33, berkata, mereka sudah beberapa kali memohon bantuan air daripada pihak bertanggungjawab, namun sehingga ke hari ini bekalan air bersih masih belum dibekalkan.
"Saya guna air bukit itu sejak lahir lagi. Kami dah banyak kali minta daripada Syarikat Air Darul Aman (Sada) tapi mereka minta kami rujuk Jabatan Kerja Raya (JKR). Tapi bila kami ke sana, mereka minta surat pula.
"Kami seolah-olah dipinggirkan. Bukan kami tak mohon, tapi tiada tindakan yang diambil. Alasan mereka, kami duduk di tanah kerajaan jadi kami tak boleh terima apa-apa bantuan," katanya.
Menurutnya, apabila musim kemarau, air di kawasan parit yang menjadi sumber bekalan utama kering dan menyebabkan aktiviti harian terganggu.
"Kalau kemarau atau panas dalam tempoh dua hingga tiga hari, air dalam parit kecil dari bukit memang kering, nampak batu saja timbul.
"Kalau hujan pula, air jadi keruh. Terpaksa juga guna untuk minum, mandi dan masak. Kadangkala anak-anak nak pergi sekolah pun susah. Terpaksa ponteng sebab nak mandi pagi pun tak boleh," katanya.
Penduduk alami sakit kulit
Seorang lagi penduduk, Saimah Talib, 54, berkata, mereka juga sering mengalami penyakit kulit apabila menggunakan air tersebut untuk mandi terutama ketika air mengalir sangat perlahan pada musim kemarau.
"Habis budak-budak naik ruam dan gatal-gatal seluruh badan. Orang dewasa pun sama juga. Yang tak tahan terpaksa pergi ambil ubat pula.
"Kami pun tak tahu apa yang ada di atas bukit sana. Kalau haiwan mati dalam kolam air pun kami tak tahu. Kadang-kadang kera pun mandi sehingga air jadi kotor," katanya.
Manakala Norazman Awang, 36, berkata, mereka juga hanya menggunakan paip untuk menyalurkan air dari parit tersebut tanpa mengguna bantuan motor pam.
“Kami beli paip, kami buat kolam air dan letakkan di situ untuk menyalurkan air ke rumah, tak ada tapis apa, pam pun tak ada,” katanya.
Menurutnya, mereka juga telah mendapat kelulusan Jabatan Kesihatan dan mendapat bantuan untuk pemasangan bekalan air paip Sada dengan hanya dikenakan separuh bayaran.
“Jabatan Kesihatan sudah luluskan untuk pemasangan paip Sada dan minta kami sediakan RM300 saja. Tapi tunggu punya tunggu, sampai ke hari ini tak ada,” katanya.
Rohayu Awang, 45, pula berkata, apabila ada kenduri dan berlaku kematian mereka terpaksa menyewa traktor untuk mengangkut air di bukit.
“Orang di sini bukannya kaya, nak makan pun susah. Kami harap pihak bertanggungjawab dapat bantu kami juga.
“Saya pula berniaga, memang memerlukan air yang banyak, kalau air bersih pun susah nak dapat macam mana saya nak teruskan perniagaan,” katanya.
Pembekalan air baharu perlu kebenaran tuan tanah
Sementara itu, Sada akan melakukan pembekalan air baharu kepada pengguna apabila diberi kebenaran oleh pemilik tanah yang ditumpang mereka.
Pegawai Perhubungan Awam Sada, Rofedi Sulaiman berkata, pihaknya akan membuat pemasangan pembekalan air baharu mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).
Menurutnya, kediaman yang ingin menikmati bekalan air bersih dan terawat yang disediakan Sada perlu mempunyai kelulusan tuan tanah.
“Kalau mereka duduk atas tanah sendiri akan lebih mudah tapi di tanah tumpang seperti rizab kerajaan dan sebagainya mereka perlu ada surat kelulusan tersebut.
“Ini prosedur biasa yang telah ditetapkan, kami tak boleh sewenangnya membuat pemasangan bekalan air kepada penduduk tanpa mendapat kebenaran,” katanya kepada Sinar Harian.
Rofedi berkata, Sada juga tidak akan menyediakan bekalan air kepada premis atau gerai yang didirikan di atas tanah tumpang.
“Kita juga tak akan buat pembekalan air kepada peniaga yang mendirikan premis mereka di atas tanah tumpang seperti di tepi jalan dan rizab kerajaan,” katanya.
Katanya, Jabatan Kesihatan juga dicadangkan menghubungi pihak Sada sekiranya benar mereka telah meluluskan bantuan pemasangan paip air untuk pembekalan baharu di kawasan tersebut.
“Kita minta Jabatan Kesihatan hubungi kita, kita nak dapatkan maklumat lanjut. Kalau mereka tinggal di atas tanah tumpang mereka perlukan kebenaran, kalau sudah ikut prosedur kita akan lakukan pembekalan air seperti biasa,” katanya.
Sumber: Sinar Harian