Gambar Hiasan |
KUALA NERANG - Padang Terap dipilih menjadi kawasan pengeluar utama padi wangi selepas kejayaan petani menanam tanaman itu di Kampung Carok Kejai, Mukim Temak, baru-baru ini.
Pegawai Jabatan Pertanian Padang Terap, Mohd Yuzaidi Azmi berkata, pengeluaran padi wangi yang pertama di daerah ini diusahakan oleh 29 petani secara kelompok di atas tanah seluas 41 hektar sebagai projek perintis.
Menurutnya, padi wangi itu mula ditanam pada Mei lalu dan kini sudah dituai.
“Hasil padi wangi yang dikeluarkan di kawasan ini menepati piawaian Mardi iaitu memerlukan pengeluaran seberat 5.5 hingga 5.8 tan setiap sehektar. Bagaimanapun dengan usaha bersungguh-sungguh petani di sini, mereka berjaya menghasilkan sebanyak 5.5 hingga 7 tan sehektar," katanya.
Mohd Yuzaidi berkata, kejayaan petani di sini adalah hasil usaha mereka yang menanam padi wangi secara berskala besar.
"Apabila padi ditanam dalam skala yang besar, petani mudah untuk mengawal pelbagai serangan penyakit sambil dibantu Jabatan Pertanian.
"Selain itu, kejayaan petani ini juga hasil selepas mereka mengikuti pakej teknologi yang disediakan oleh Jabatan Pertanian," katanya.
Tambahnya, padi wangi ini mampu menjana pendapatan petani kerana harganya lebih mahal berbanding padi biasa yang ditanam oleh petani di situ.
“Padi wangi mendapat tawaran dari kilang sebanyak RM1,500 setiap setan berbanding dengan padi biasa hanya RM1,200 sahaja.
"Dengan menanam padi wangi, petani mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM10,500 bagi tujuh tan sahaja setiap sehektar berbanding sembilan tan bagi padi biasa,” katanya.
Katanya, beras wangi yang ditanam di kawasan ini ialah jenis MRQ74 dikacukkan bersama basmati dan MQR76 dikacukkan bersama jasmine.
Dalam pada itu, Mohd Yuzaidi berkata, beberapa tempat di daerah itu juga dikenal pasti akan ditanam padi wangi antaranya di Padang Gelanggang, Kampung Palas dan Padang Sanai membabitkan tanah seluas 200 hektar.
"Kawasan lain yang turut berminat untuk menanam padi wangi ini ialah Baling (23 hektar) dan Langkawi (116hektar).
“Dngan pembukaan beberapa kawasan baru di Padang Terap ini, kami akan mensasarkan sebanyak 1,100 tan padi wangi dapat dihasilkan. Bagaimanapun ini bergantung kepada usaha serta komitmen petani yang terbabit dalam sistem kelompok yang diwujudkan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian