ALOR SETAR - Tiada anjing jalanan dipelihara di rumah perlindungan haiwan, Pak Mie Shelter berhampiran Jalan Tanjung Bendahara, di sini, disahkan mengidap penyakit anjing gila.
Pencinta haiwan, Halijah Idris, 68, berkata, dia mendapati semua haiwan peliharaan mereka di rumah perlindungan berkenaan bebas daripada jangkitan wabak rabies itu.
“Setakat ini, lebih 600 anjing di Pak Mie Shelter disahkan bebas dari jangkitan wabak anjing gila kerana sudah diberikan vaksin anti rabies.
“Lagipun, kami sudah mengambil langkah pencegahan dari awal-awal lagi sejak Januari lalu bagi memastikan tiada anjing terkena jangkitan wabak ini,” katanya.
Halijah yang mesra dipanggil Mak Intan berkata, suntikan vaksin adalah langkah biasa mereka dalam usaha mencegah wabak berkenaan menular.
"Rakan-rakan arwah suami dari Thailand sudah memberi peringatan mengenai penularan wabak ini, jadi saya mengambil langkah berjaga-jaga.
"Selain suntikan vaksin, saya juga menjaga tahap kebersihan makanan dan minuman anjing di rumah perlindungan haiwan ini," katanya.
Malah, menurutnya, kemudahan seperti pagar turut dipasang bagi memastikan anjing yang dipelihara di rumah perlindungan berkenaan tidak terlepas keluar.
"Jadi, kalau ada anjing jalanan yang ditemui berkeliaran sekitar Pak Mie Shelter, termasuk yang dijangkiti rabies, ia bukan milik rumah perlindungan haiwan kami.
"Kita sudah ambil langkah sewajarnya... jadi tiada masalah timbul mengenai jangkitan rabies dalam kalangan anjing di Pak Mie Shelter," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tiga negeri di utara Semenanjung Malaysia, iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang diwartakan sebagai kawasan jangkitan anjing gila.
Sehingga 20 September, hanya dua individu yang juga pasangan suami isteri dari 18 kes gigitan anjing dilaporkan digigit anjing peliharaan mereka yang dijangkiti rabies di Kedah.
Berikutan itu, Jabatan Kesihatan Kedah meminta penduduk memberi kerjasama membantu agensi terlibat dalam usaha mencegah penularan wabak itu.
Sumber: Sinar Harian