Pakatan Rakyat 2.0 Bukan Hak Milik Khalid Samad - Naib Presiden PAS

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad 
Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad secara lantang membidas Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dengan menegaskan bahawa Pakatan Rakyat baru yang bakal dibentuk nanti bukanlah milik mutlaknya.

Iskandar berkata, gabungan parti pembangkang yang baru itu juga bukan hak milik kepada Parti Pekerja Malaysia atau parti Amanah sehingga Ahli Parlimen Shah Alam itu boleh menetapkan syarat-syarat tertentu kepada PAS jika berminat menyertai gabungan tersebut.

“Pakatan Rakyat (baru) bukan milik Khalid Samad atau Amanah untuk menetapkan syarat-syarat,” kata Iskandar dalam satu kenyataan yang dipetik dari sebuah portal, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Khalid berhubung syarat yang dikenakan kepada PAS jika mahu menyertai gabungan bersama DAP, PKR dan Amanah yang dijangka berlangsung pada 16 September ini.

Antara syarat yang dikenakan Khalid kepada bekas partinya itu ialah PAS diminta lebih berdisiplin dalam gabungan tersebut dan perlu akur patuh kepada sebarang keputusan yang dibuat di dalam mesyuarat Pakatan Rakyat.

Keduanya, Khalid yang seolah "membalas dendam" terhadap PAS turut menetapkan sekiranya apa-apa tindakan yang lakukan, maka parti itu perlu kepada perbincangan bersama dengan perbanyakkan mesyuarat.

Selain itu, perkara-perkara yang melibatkan tindakan unilateral pula perlu dikurangkan oleh PAS bagi mengelak sebarang bentuk ketegangan yang mampu menggugat mana-mana gabungan dan kerjasama Pakatan Rakyat baru itu nanti.

Dalam bahasa berterus-terangnya, Khalid menegaskan bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mesti berubah sikapnya yang dikatakan menjadi "perosak" Pakatan Rakyat sebelum ini. 

Sebelum itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan satu "perintah" dari penjara Sungai Buloh meminta supaya PAS diterima masuk ke dalam Pakatan Rakyat yang bakal ditubuhkan. -Kedahnews.com