SEORANG lelaki sujud dan wanita melaungkan slogan memprotes orang Yahudi melawat Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis. |
Paris - Presiden Palestin Mahmoud Abbas semalam memberi amaran kemungkinan berlaku intifada jika perbalahan masih berterusan di pekarangan Masjid Al-Aqsa.
Bercakap selepas menemui pemimpin Perancis Francois Hollande di Paris, Mahmoud berkata: “Keadaan sekarang amat berbahaya. Ada kemungkinan berlaku intifada dan sudah pasti kita semua tidak mahukan itu terjadi.”
Sehubungan itu, dia menggesa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menghentikan kekacauan di tempat suci berkenaan.
Keadaan di Masjid Al-Aqsa tegang berikutan beberapa pertempuran kecil di lokasi itu pada hari tahun baru Yahudi, minggu lalu.
Pihak berkuasa Israel juga dalam keadaan berjaga-jaga menjelang perayaan Aidiladha sehari selepas sambutan Yahudi, Yom Kippur kelmarin.
Mahmoud juga dijadualkan menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York di mana Setiausaha Agung Ban Ki-Moon akan menemui menteri luar dari Mesir, Jordan dan Arab Saudi serta setiausaha agung Liga Arab dalam usaha menghidupkan semula rundingan damai dalam konflik Israel-Palestin. - AFP