Parti Amanah Ciplak Logo Stesen TV Dari Tamil Nadu, Imayam?

BELUM pun sehari selepas secara rasmi dilancarkan pada 16 September, Parti Amanah Negara mencetuskan kontroversi apabila logo badan siasah itu didakwa ramai netizen sebagai meniru logo sama dari luar negara.

Sebelum ini parti serpihan Pas itu menjadi bahan ‘ketawa’ ramai pihak apabila mengunakan panggilan pengenalan Amanah, bukan akronim PAN kerana bimbang akan dianggap seperti sebutan kuali periuk dalam bahasa Inggeris.

Kali ini lebih dahsyat apabila logo Amanah menjadi gurauan pula, bukan kerana isu visual logo tersebut ‘bocor’ sejak tersebar menerusi Facebook sehari sebelum tarikh pelancaran tetapi rupa bentuk logo berkenaan sendiri.

Beberapa blog tempatan mendedahkan, isu logo Amanah turut dibangkitkan ramai penyokong parti itu sendiri yang masih lagi belum disahkan pendaftarannya hasil pengambilalihan daripada asalnya Parti Pekerja Malaysia.

Jawapan diberikan Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir dalam satu kenyataan media selepas pelancaran parti tersebut di Shah Alam, Selangor pada Rabu yang dihadiri 3,000 orang juga langsung tidak begitu menyakinkan.

Jawatankuasa Parti Amanah yang baru diumumkan semalam.
Bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu dalam jawapannya hanya menjelaskan ia serupa secara kebetulan semata-mata dan barisan kepimpinan Amanah turut mengambil maklum komen pelbagai pihak.

Ramai pengguna media sosial turut mendakwa logo Amanah mirip organisasi rahsia Zionis iaitu Freemason berdasarkan konsep tiga segi dan corak satu matanya tetapi lebih lucu, ada kata ia logo sebuah stesen televisyen.

Dakwaan berkenaan ternyata amat berasas kerana logo Amanah konon huruf A yang berwarna putih dengan latar warna jingga itu memang 100 peratus ‘sebijik’ sama dengan stesen penyiaran swasta India iaitu Imayam TV.

Timbul keraguan dan persoalan, adakah Amanah terlalu terdesak sehingga terpaksa ‘meniru’ logo stesen televisyen berbahasa Tamil 24 jam serta kurang popular yang berpusat di bandar raya Chennai, ibu negeri Tamil Nadu itu.


Perkara tersebut turut dijadikan bahan jenaka netizen pro-Pas yang secara seloroh mendakwa, nama sahaja Amanah, tetapi logo parti itu sendiri membuktikan mereka pun tidak amanah sanggup ‘ciplak’ logo orang lain.

Bukan itu sahaja, khabarnya struktur organisasi Amanah sebahagian besarnya ‘salin’ bulat-bulat daripada Pas antaranya unit sukarela Amal, sayap wanita Nisa’, tadika Pasti dan banyak lagi seolah-olah ia Pas versi baharu.

Amanah sebelum ini dikenali Gerakan Harapan Baru ditubuhkan sekumpulan pemimpin Pas yang tewas pada pemilihan parti Islam itu diketuai bekas timbalan presiden Pas, Mohamad Sabu. – Agensi