Parti Amanah Dakwa Tiada Masalah Guna Nama, Akan Runding Dengan RoS


ALOR SETAR - Para pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) kekal dengan pendirian mereka dengan mendakwa bahawa tiada sebarang masalah untuk menggunakan nama parti berkenaan walaupun masih belum mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata, parti itu telah mematuhi prosedur bagi menukarkan nama daripada Persatuan Pekerja-pekerja Malaysia.

"Semua ini dilakukan mengikut prosedur, menerusi mesyuarat agung luar biasa yang kita adakan, dan RoS sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangannya," katanya semalam sebagaimana yang dipetik dari laporan mStar.

Semalam, RoS dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan bahawa Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia (Pekerja) tidak dibenarkan sama sekali untuk mengadakan sebarang aktiviti atau program atas nama Parti Amanah Negara selagi pertukaran nama belum diluluskan.

Dalam kenyataan itu,RoS turut menegaskan bahawa tindakan melanggar larangan itu adalah salah dari sudut perundangan dan boleh didenda sehingga RM3,000.

Mengenai perkara itu, Anuar berkata, pihaknya akan mengaturkan satu pertemuan dengan RoS pada Isnin bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai status Amanah sebagai parti.

"Kita akan berunding dengan mereka dari segi undang-undang, bagi melihat sama ada terdapat sebarang batasan untuk menggunakan nama itu. Saya tidak fikir terdapat isu mengenainya," katanya.

Terdahulu, Amanah melancarkan bahagian Wilayah Persekutuannya walaupun pertukaran nama masih belum mendapat lampu hijau daripada RoS.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, sebarang keputusan hanya akan diketahui selepas mengadakan pertumuan dengan RoS.

"Setakat ini, tiada masalah untuk menggunakan nama Parti Amanah Negara. Tetapi kita masih akan berunding dengan RoS," katanya lagi.

Parti Amanah dijangka bakal dilancarkan pada 16 September ini. -Kedahnews.com