PAS Puji Langkah Kerajaan BN Perkenal Indeks Syariah Malaysia (ISM)

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan
KUALA LUMPUR – PAS mengalu-alukan langkah Kerajaan Persekutuan yang mengambil inisiatif memperkenalkan Indeks Syariah Malaysia (ISM) bagi mengukur pentadbiran kerajaan dalam melaksanakan tuntutan syarak berdasarkan kepada lima ‘maqasid syariah’.

Lima maqasid syariah itu ialah memelihara agama, akal, nyawa, keturunan dan harta.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata, walaupun perincian ISM masih belum dibentangkan, namun PAS berharap agar ia dicorakkan berdasarkan epistemologi dan tasawwur Islam yang sebenar.

“Objektif pengurusan dan pentadbiran negara mestilah untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. Ia boleh digapai hanya dengan memastikan bahawa segenap urusan yang berkaitan dengannya adalah dalam kerangka syariah.

“Atas keyakinan ini, ia pasti akan mengundang keberkatan, pengampunan dan rahmat daripada Allah S.W.T,” katanya dalam satu kenyataan media ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini melancarkan ISM yang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim).

Menerusi pelaksanaan indeks tersebut, Malaysia akan menjadi negara pertama di dunia yang mewujudkan indeks syariah secara komprehensif bagi mengukur secara saintifik dari empat sudut iaitu ketepatan syariah di Malaysia.

Nasruddin berkata, langkah kerajaan mewujudkan ISM selari dengan tujuan penubuhan PAS untuk membangunkan Malaysia bersama Islam, bukan seperti manifesto penubuhan Negara Berkebajikan Pakatan Rakyat yang terkeluar daripada cita-cita PAS.

“PAS menegaskan bahawa ISM yang akan diperkenalkan nanti mestilah diikuti secara tegas oleh kerajaan. PAS akan menunggu draf ISM tersebut disiapkan dan akan membuat pendirian rasmi mengenainya,” katanya. - Kedahnews.com