PAS Sedia Lawan Parti Amanah, Mana-Mana Parti Pada PRU Ke-14

Sidang media khas, Pelancaran Program “Himpunan 60 Ribu” (H60K) di ibu pejabat PAS di ibu negara, semalam.
PAS menegaskan bahawa parti itu sedia untuk bertembung dengan Parti Amanah Negara (Amanah) atau mana-mana parti politik sekali pun bagi merebut kerusi dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang akan datang.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata sebagai sebuah parti yang berpengalaman, PAS semestinya sudah bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan yang bakal dihadapi nanti.

"Itu hak mereka. Mereka nak tanding di mana sekali pun itu hak mereka. Ada pun kita PAS bersedia menghadapi pilihan raya umum dengan keputusan yang kita akan buat nanti.

"Berapa dan di mana kerusi yang kita nak tanding akan diputus kemudian.

"PAS sebagai sebuah parti politik yang berpengalaman dan besar sedia hadapi apa jua situasi untuk hadapi pilihan raya umum akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sidang media khas, Pelancaran Program “Himpunan 60 Ribu” (H60K) di ibu pejabat PAS di ibu negara, semalam.

Berhubung himpunan yang bakal dianjurkan PAS itu, Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menjelaskan bahawa ia bakal diadakan di Stadium Sultan Muhamad ke IV, Kota Bharu, dan menggunakan warna hijau sebagai warna rasmi himpunan tersebut.

"Ahli tuntut sesuatu dari kepimpinan. Ia datang dari suara semangat akar umbi untuk kukuhkan Pas dan tunjuk istiqamah pada parti PAS," katanya menjelaskan tentang antara tujuan himpunan tersebut dianjurkan.  -Kedahnews.com