PAS Tegaskan Sekali Lagi Tidak Akan Terlibat Dengan Pakatan Harapan

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hassan
ALOR SETAR – PAS mengulangi peringatan kepada para pemimpin dan ahli parti itu bahawa PAS sama sekali tidak akan terlibat dengan Pakatan Harapan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hassan berkata, perkara itu telah dinyatakan secara jelas oleh pucuk pimpinan parti itu sebelum ini.

Beliau turut menyifatkan Pakatan Harapan yang dinaungi DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) mempunyai agenda politik tersendiri.

“PAS menghormati hak mana-mana pihak untuk merangka agenda politik tersendiri. Bagaimanapun PAS tidak akan terlibat dengan Pakatan Harapan sebagaimana yang telah dinyatakan oleh PAS sebelum ini,” tegasnya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Takiyudin turut menegaskan PAS cuma akan mengekalkan hubungan dan kerjasama politik dengan PKR serta sedang melaksanakan pelan membina Malaysia sejahtera.

PKR, DAP dan Amanah semalam mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan tanpa PAS bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang berkubur sejak Jun lalu.

Bagaimanapun, bekas Ketua Penerangan PAS yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar semalam dikatakan turut hadir dalam sidang meja bulat yang membentuk Pakatan Harapan.

Bekas Pesuruhjaya PAS Kedah yang membuat keputusan untuk kekal bersama PAS walaupun dilihat sebahagian dari kumpulan progresif yang membentuk Parti Amanah itu merayu kepada kepimpinan Pakatan Harapan supaya tidak meminggirkan PAS dari blok pembangkang. -Kedahnews.com