PAS Tetap Pendirian Enggan Kerjasama Dengan Pengkhianat Parti

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi
KUALA LUMPUR — PAS sama sekali tidak boleh bekerjasama dengan pengkhianat parti itu yang seolah-olah mengkhianati parti dengan menubuhkan sebuah parti politik yang dikenali sebagai Parti Amanah Negara (Amanah).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, label pengkhianat-pengkhianat PAS itu mesti dikekalkan dengan label pengkhianat parti itu sehingga mereka bertaubat dan sedar dengan tindak-tanduk mereka.

“Pengkhianat mesti dikekalkan rasa bersalahnya disepanjang zaman sehingga ia menyesal dan kembali bertaubat kepada Allah SWT.

“Mengiktiraf pengkhianat akan menghilangkan rasa bersalah mereka yang terlibat. Ini sangat tidak baik untuk sebuah perjuangan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Nasruddin dilaporkan berkata demikian bagi menyokong keputusan pucuk pimpinan PAS bahawa parti itu tidak akan menyertai Pakatan Rakyat 2.0.

Pakatan Rakyat 2.0 merupakan gabungan baharu DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAN bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang telah berkubur.

PKR membuat pusingan-U mempelawa PAS kembali menyertai gabungan pembangkang kerana khuatir akan kehilangan sokongan kaum Melayu.

Ia berikutan kurang penyertaan kaum Melayu dalam perhimpunan haram Bersih 4.0 di ibu negara pada Ogos lalu.

Parti Amanah pula ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS yang disingkirkan dalam pemilihan parti itu pada Jun lalu kerana didakwa menentang golongan ulama PAS.

Nasrudin dalam pada itu berkata, PAS membuat keputusan tidak menyertai Pakatan Rakyat 2.0 bukan kerana ego tetapi demi prinsip dan maruah perjuangan.

“Ia dibuat dengan segala kerendahan diri kepada Allah S.W.T yang memerintahkan kita agar memelihara kemuliaan Islam dan perjuangannya,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, PAS mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu bersahabat dan mendukung cita-cita perjuangan PAS. -Kedahnews.com