PAS Tidak Gentar Berdepan 3 Penjuru Lawan DAP, PKR Atau Amanah PRU Nanti

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan
KOTA BARU - PAS menegaskan bahawa pihaknya langsung tidak gentar untuk berdepan mana-mana parti dalam gabungan baru Pakatan Harapan, sama ada DAP, PKR mahupun Parti Amanah Negara (Amanah) pada pilihanraya yang akan datang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, partinya sentiasa bersedia untuk bertanding di kerusi tradisi PAS untuk menentang calon Barisan Nasional (BN) yang juga musuh tradisi politiknya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Namun menurut Ahli Parlimen Kota Baru itu, PAS tiada masalah untuk berbincang dengan PKR mengenai pembahagian kerusi dalam PRU-14.

Jelas beliau PAS masih perlu bekerjasama dengan PKR untuk menentang BN walaupun mereka menganggotai Pakatan Harapan bersama 'musuh' PAS yang merujuk kepada dua parti sekutu PKR, iaitu DAP dan Amanah.

"Masih terlalu awal untuk mengulas mengenai pakatan pembangkang baharu kerana kita masih belum melihat arah dan cita-cita mereka.

"Walaupun PAS tidak ada kena mengena dengan Pakatan Harapan, PKR perlukan PAS dan sebaliknya.

"Ini adalah pendirian rasmi PAS bahawa kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana rakan kongsi politik kecuali BN," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Dewan Harian PAS yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini.

Pendirian terbaru PAS itu dilihat bertentangan dengan hasrat Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang menggesa agar PAS tidak terlibat dalam saingan tiga penjuru pada PRU-14 akan datang.

Wakil rakyat PAS dari kedah itu dalam menyatakan pendiriannya mengatakan bahawa PAS perlu dilibatkan dalam Pakatan Harapan atau sekurang-kurangnya menjalinkan kerjasama menerusi 'blok politik' bagi mengelak berlakunya pertandingan tiga penjuru antara pembangkang dan BN. 

Dalam perkembangan berkaitan, Takiyuddin berkata, PAS tidak melihat ahli-ahlinya yang keluar parti bagi menyertai PKR sebagai pengkhianatan kerana perkara itu merupakan "isu yang berasingan" dengan kumpulan yang menyertai Amanah.

"Ini bukan soal siapa mengkhianati siapa kerana ia perkara biasa dalam politik.

"Ia berbeza dengan tindakan ahli dan pemimpin PAS yang belot dengan melompat parti dan menyertai Amanah," katanya menjelaskan perbezaan mengenai tindakan pemimpin PAS yang menyertai Amanah dan PKR sebelum ini. -Kedahnews.com