PBT Ditahan Insiden Bakar Rumah Petani Yang Enggan Pindah

Keadaan rumah Zhang yang terbakar dan disebarkan melalui media sosial China. - Foto SCMP
Beijing - Beberapa pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) China ditahan berhubung kejadian seorang petani mati hangus dalam rumahnya ketika mereka cuba memaksanya keluar dari rumah berkenaan untuk dirobohkan bagi projek pembangunan kawasan penempatan.

Sebelum ini, Zhang Jimin, 46, yang mempunyai dua anak dikatakan mati membakar dirinya kerana membantah tindakan pihak berkuasa mengambil tanahnya di timur wilayah Shandong, untuk projek itu.

Menurut Beijing News, Zhang enggan berpindah kerana tidak mampu membeli flet yang ditawarkan walaupun selepas mendapat pampasan.

Pihak berkuasa menawarkan pampasan 60 yuan bagi semeter persegi tanah manakala apartmen dijual dengan harga 1,100 yuan semeter persegi.

Isnin lalu, lebih 10 orang mengepung rumah Zhang dan melempar batu, bata serta botol mengandungi cecair kuning ke arah rumahnya sambil sebuah jentolak cuba merobohkannya.

Rumah berkenaan tiba-tiba terbakar selama sejam dan menurut seorang penduduk, mayat Zhang yang rentung ditemui dalam rumah.

Pegawai PBT mengancam mengenakan hukuman berat terhadap mereka yang menyebarkan ‘khabar angin’ mengenai kematian Zhang. 

Rabu lalu, mereka mengumumkan lelaki itu membakar diri yang membangkitkan kemarahan orang ramai sebelum menjadi bahan utama di media sosial.

Agensi berita rasmi China, Xinhua, melaporkan berikutan itu beberapa pegawai PBT kini ditahan untuk siasatan jenayah. - AFP