PDRM Sentiasa Komited Tingkatkan Kualiti Khidmat Pada Rakyat - Acryl Sani

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani
MUAR – Polis sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan yang sering dibangkitkan masyarakat bagi mengelak persepsi negatif yang sering ditimbulkan terhadap pasukan itu.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata pasukan itu sentiasa menerima maklum balas daripada masyarakat dalam setiap pertemuan termasuk Diskusi Meja Bulat yang telah diadakan di beberapa negeri.

“Polis telah menerima banyak respons daripada masyarakat tentang mutu perkhidmatan anggota polis yang pada mereka banyak persoalan yang perlu dijawab.

Kita ambil maklum perkara ini dan sentiasa memperbaiki tahap perkhidmatan polis demi kepentingan bersama,” katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Pelancaran Bulan Pencegahan Jenayah 2015: Diskusi Meja Bulat Keselamatan Komuniti di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia, Bakri di sini, semalam.

Turut hadir Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye, Pengerusi MCPF Johor Datuk Freddie Loong Hoo Hin dan Ketua Polis Daerah Muar ACP Azman Ayob.

Acryl Sani berkata dalam sesi diskusi berkenaan, masyarakat masih berpendapat tahap keselamatan mereka masih perlu diberi perhatian walaupun hakikatnya kadar jenayah di negara ini telah turun sebanyak 40 peratus.

“Ini kali ketiga diadakan diskusi seperti ini iaitu di Perak, Kedah dan Johor dan selepas ini di Negeri Sembilan, Perlis dan Terengganu.

“Ini juga peluang kita bertemu semua pemimpin masyarakat memperjelaskan keadaan yang sebenar kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sentiasa menggalakkan masyarakat kejiranan di semua taman perumahan agar menubuhkan “pengawasan komuniti” di tempat masing-masing.

“Biar kita sama-sama menjaga keselamatan di tempat masing-masing dan ini penting buat semua pihak,” katanya.

Sementara itu Lee berkata MCPF akan mengadakan perbincangan dengan pasukan itu bagaimana pihaknya dapat menjaga kebajikan anggota polis di seluruh Malaysia yang banyak berjasa buat negara.

“MCPF amat prihatin mengenai soal menjaga kebajikan anggota polis seperti membantu mereka yang terbabit dalam kemalangan umpamanya,” katanya. – BERNAMA