Pegawai Kerajaan Didakwa Lindungi Pengganas Di Sungai Petani

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani, kelmarin
SUNGAI PETANI - Seorang pegawai kerajaan didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, kelmarin, atas tuduhan melindungi seorang lelaki yang melakukan perbuatan pengganas, tahun lalu.

Tertuduh, Poziah Harun, 42, beralamat di Shah Alam, Selangor hadir dengan berpakaian jubah dan bertudung labuh itu didakwa melakukan perbuatan terbabit pada awal September hingga Disember 2014.

Dia yang merupakan pegawai perangkaan dituduh melindungi Zulkarnain Ghaz Abd Ghani di mana tertuduh mempunyai pengetahuan bahawa lelaki itu melakukan perbuatan pengganas.

Tindakan itu dilakukan di sebuah poliklinik di Taman Pekan Baru, Sungai Petani, tahun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 130 K (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 130K kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan seumur hidup dan boleh dikenakan denda atau penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dengan denda.

Poziah yang tenang apabila dibawa ke kandang tertuduh mengangguk faham mengenai pertuduhan yang dibacakan ke atasnya. Tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nuraswan Aminuddin di hadapan Hakim Norsalha Datuk Hamzah.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh. Sebutan semula kes pada 18 Oktober depan.

Sumber: Sinar Harian