Pekerja Kedai Dobi Cuba Pertahan PATI Turut Ditahan Imigresen Langkawi

Antara Pati yang ditahan dalam serbuan itu.
ALOR SETAR - Tindakan seorang pekerja kedai dobi yang cuba menghalang pegawai imigresen melakukan pemeriksaan ke atas rakan sekerjanya membawa padah apabila dia turut ditahan dalam Ops Ikrar di Pekan Kuah, kelmarin.

Dalam serbuan itu, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan bersama enam pendatang tanpa izin (Pati) wanita iaitu dua warga Myanmar dan empat warga Indonesia.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, lelaki tempatan itu ditahan mengikut Seksyen 56(1)(g) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana menghalang pegawai imigresen menjalankan tugas.

Menurutnya, pada operasi itu, pihaknya melakukan serbuan di tujuh lokasi berasingan di sekitar Pekan Kuah, Burau Bay dan Pantai Chenang.

"Dalam serbuan itu, 12 Pati ditahan dalam serbuan di enam lokasi berasingan di mana empat pekerja Pakistan ditahan di sebuah restoran makanan timur tengah berhampiran Kereta Kabel Langkawi, Burau Bay.

"Beberapa warga asing masing-masing dari Palestin, Somalia, India dan Yemen pula ditahan di sebuah restoran makanan timur tengah di Pekan Kuah.

"Selebihnya dua lelaki Algeria ditahan bekerja di sebuah restoran makanan Itali dan seorang lelaki Syria ditahan di sebuah restoran makanan Mexico di Pantai Cenang," katanya.

Yusri berkata, kesemua Pati ditahan atas pelbagai kesalahan, antaranya lapan individu atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah, empat individu pula kerana tinggal lebih masa selepas tamat tempoh dan tujuh lagi kerana melanggar syarat pas lawatan.

"Kesemua Pati yang ditahan berusia 20 hingga 40 tahun itu akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan selanjutnya," katanya.

Sumber: Sinar Harian