Nur Azmiza menunjuk keputusan x-ray di pahanya selepas dibedah dan memohon sumbangan bagi menjalani pembedahan di bahagian lutut. |
PENDANG - Seorang pelajar Kolej Vokasional Balik Pulau, Pulau Pinang, Nur Azmiza Azmi, 16, merayu kepada pihak berkenaan supaya dapat membantu membiayai kos pembedahan di kakinya untuk membolehkan dia berjalan dengan sempurna.
Nur Azmiza berkata, kaki kanannya mengalami masalah selepas terlibat kemalangan pada 2012 menyebabkan dia sukar berjalan dengan sempurna.
Menurutnya, sebelum ini dia sudah menjalani pembedahan di paha kanannya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kemudiannya akan menjalani pembedahan lutut di Hospital Kuala Lumpur.
“Saya memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM22,000 bagi menjalani pembedahan itu selepas mendapat nasihat doktor. Jika saya gagal menjalani pembedahan itu secepat mungkin, kaki saya akan lumpuh dan tidak berfungsi lagi.
“Doktor memaklumkan kecederaan di bahagian lutut saya sudah tahap ketiga dan ini sangat membimbangkan kerana kaki saya akan lumpuh selamanya,” katanya yang tinggal di Kampung Rambai di sini.
Nur Azmiza berkata, kecederaan di bahagian lutut itu menyebabkan dia terpaksa berjalan perlahan–lahan dan tidak seimbang.
"Masalah ini bertambah serius lagi jika saya menaiki tangga di kolej kerana kaki saya terasa sangat sakit setiap kali melangkah," katanya.
Sementara itu, bapanya, Azmi Ramli, 48, berkata, dia tidak mampu membiayai perubatan anaknya itu kerana pendapatannya sebagai seorang tukang besi hanya cukup untuk menyara keluarganya sahaja.
Menurutnya, selain itu penyakit jantung dan kencing manis dihidapi sering menjejaskan pekerjaannya menyebabkan dia sukar untuk menyediakan kos pembedahan Nur Azmiza.
“Saya turut menanggung empat anak yang masih bersekolah lagi dan saya tidak mampu bagi membiayai perbelanjaan pembedahan anak saya, saya berharap ada pihak yang dapat membantu dia menjalani pembedahan itu,” katanya.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan bolehlah menyalurkannya di akaun Bank Islam 02105020167417 (Norshamsaimah Md Salleh).
Sumber: Sinar Harian