Pemain Skuad B-13 PPBN Setaraf Pelapis Kelab Elit Eropah


KUALA LUMPUR - Program jelajah yang diselitkan dalam jadual Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) untuk masa depan bola sepak negara dianggap sebagai pengukur bagi melihat keberkesanan pelan program ini bagi fasa pertama bermula 2014 hingga 2020.

Mungkin terlalu awal untuk menilai pelan yang dilaksanakan itu, namun penerapan falsafah atau DNA permainan sudah mula kelihatan dengan pencapaian yang memberangsangkan oleh skuad Bawah 13 Tahun dalam beberapa siri jelajah tahun ini.

Malah Pengarah Teknikal PPBN, Lim Teong Kim sebelum ini menegaskan bahawa sesebuah program pembangunan memerlukan masa untuk melihat hasilnya.

Bagaimanapun bekas jurulatih remaja Bayern Munich ini gembira kerana anak didiknya bijak menggunakan segala ilmu yang diterapkan oleh jurulatih-jurulatih terlibat dengan baik.

"Pemain-pemain muda yang sedang digilap bakat mereka itu dapat menyesuaikan diri dengan baik bukan sahaja dalam negara tetapi di mana-mana sahaja mereka pergi.

"Kemenangan adalah sesuatu yang bermakna bagi memberi keyakinan dan tahap kepercayaan dalam diri pemain, tetapi saya lebih berminat melihat pemain ketika beraksi dan menyelesaikan masalah di padang.

"Adakah mereka faham tanggungjawab di bahagian serangan dan pertahanan? Bagaimana cara untuk mendapatkan bola, berada dekat dengan pihak lawan, berada jauh dengan pemain lawan dan cara pantas menangani tekanan?

"Perkara-perkara tersebutlah yang saya tekankan, mengajar cara pemikiran pemain-pemain dalam program pembangunan ini.

"Ia sangat penting bagi semua pemain memahami perlawanan, bagaimana cara bermain dan ia adalah untuk masa depan pembangunan bola sepak," jelasnya kepada mStar Online.

Terbaharu, sejumlah 54 pemain skuad bawah-13 tahun telah meraih pengalaman berharga menerusi  Program Jelajah United Kingdom (UK) dan Program Jelajah Asean.

Program Jelajah UK melibatkan 10 perlawanan persahabatan menentang akademi-akademi Liga Perdana Inggeris dan Liga Kejuaraan England seperti Liverpool, Manchester City, Crystal Palace, Tottenham Hotspur dan West Ham.

Pada tahun lepas, Program Jelajah UK PPBN hanya melibatkan perlawanan-perlawanan di sekitar London.

Teong Kim menyifatkan program Jelajah UK pada tahun ini telah mencapai objektif yang dikehendaki.

"Setiap tahun kita mahukan perlawanan yang berkualiti dan kompetitif untuk para pemain ini dan dengan penganjuran program sebegini, kita telah dedahkan seberapa ramai pemain dengan persekitaran bola sepak di tahap tertinggi dan bertaraf dunia,” jelasnya selepas berakhirnya kedua-dua program jelajah itu Ahad lalu.

"Sebagai contoh ketika di UK, kami telah bertarung dengan pasukan-pasukan yang berkualiti tinggi seperti Liverpool FC, Manchester City FC dan West Ham United FC.

"Pasukan-pasukan sebegini telah memberi tekanan yang hebat terhadap anak tempatan kita dan ini telah memberikan mereka peluang untuk membuktikan bahawa mereka juga sama hebat seperti pemain-pemain muda di Eropah, malah lebih baik berbanding mereka.” kata Teong Kim.

Program Jelajah United Kingdom merupakan program tahunan yang dianjurkan dengan kerjasama dan bantuan kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Queens Park Rangers (QPR) yang merupakan salah satu rakan nasional PPBN.

Selain daripada membantu mengaturkan perlawanan menentang akademi-akademi ternama di England, QPR juga menerima 4 jurulatih PPBN yang akan berkelana selama 3 minggu (27 September-17 Oktober 2015) di Heston bagi program kejurulatihan intensif di bawah Akademi Bola Sepak QPR.

Jurulatih-jurulatih PPBN tersebut ialah Abdul Jalil Md Isa (Ketua Jurulatih Remaja Negeri Perlis), Armi Shariff (Ketua Jurulatih Remaja Negeri Terengganu), Omar Maya Amat (Ketua Jurulatih Remaja Negeri Sabah) dan Zabidi Osmain (Ketua Jurulatih Remaja Negeri Johor).

Sementara itu seramai 29 pemain dan 9 jurulatih yang diketuai oleh Wan Rohaimi Wan Ismail telah dihantar ke Thailand, Cambodia & Vietnam bagi Program Jelajah Asean.

Inisiatif ini diambil bagi memberikan pendedahan luar negara kepada lebih ramai pelatih skuad elit.

Sebahagian besar pemain-pemain Jelajah Asean mendapat pendedahan sulung bermain di luar negara melalui perlawanan-perlawanan menentang akademi-akademi utama di ketiga-tiga negara seperti Chonburi FC, PVF Vietnam dan Phnom Penh Crown FC.

Sumber: mStar