Gambar Hiasan |
Kuala Lumpur - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mendapati masalah utama yang menyebabkan kesukaran pembinaan rumah mampu milik adalah berikutan harga tanah yang tinggi.
Pengerusinya Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata, ia menyebabkan pembinaan rumah mampu milik dianggap seperti tidak berbaloi memandangkan harga tanah yang perlu dibayar adalah tinggi.
Hasil tinjauan yang dilakukan dalam kalangan 1,000 ahlinya dari 12 negeri di Semenanjung Malaysia pada Januari hingga Jun lalu mendapati kira-kira 30 peratus responden mengakui bahawa pembinaan rumah mampu milik adalah tidak sesuai kerana harga tanah yang tinggi.
“Selain itu, disebabkan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta nilai mata wang yang tidak menentu, maka kos melakukan perniagaan terus meningkat yang seterusnya mengakibatkan pembinaan rumah mampu milik bukan pilihan utama pemaju,” katanya selepas taklimat prestasi industri hartanah pada separuh pertama 2015 di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, kira-kira 13 peratus responden mendapati kewujudan rumah mampu milik tidak konsisten dengan hartanah yang ada di kawasan sekeliling.
“Malah, ada responden yang mengakui bahawa pembinaan rumah mampu milik ini tidak selari dengan penjenamaan yang dibawa syarikat,” katanya.
Menurutnya, pihaknya mencadangkan agar mewujudkan satu badan yang komited mempromosikan rumah mampu milik memandangkan kebanyakan projek seumpama ini adalah dari Kerajaan Pusat dan negeri.
“Kami mencadangkan agar kerajaan membina rumah mampu milik di atas tanah milik kerajaan. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kos pembelian tanah dari pihak ketiga dan membantu pemaju membina kediaman yang selesa untuk ditawarkan di bawah skim rumah mampu milik,” katanya.
Sementara itu, Fateh Iskandar berkata, penggunaan Sistem Binaan Industri (IBS) tidak menjamin harga kediaman yang lebih rendah.
“Kami menyokong IBS, namun fokus utama kami adalah untuk membina rumah mampu milik. Penggunaan IBS mungkin menyebabkan kos meningkat kecuali ia digunakan secara meluas oleh kontraktor bagi projek pembinaan yang dikelolakan kerajaan,” katanya.
Sumber: myMetro