Pembekal Daging Di Kedah Dakwa Rugi Kerana RM Jatuh, GST

Pembekal daging kini menghadapi kerugian selepas kejatuhan nilai ringgit dan GST.
JITRA - Kejatuhan nilai ringgit kini menjejaskan periuk nasi pembekal daging malah ada antara mereka kini terpaksa gulung tikar kerana menanggung kerugian.

Pembekal daging, Md Rodzaki Othman, 61, dari Kepala Batas berkata, perniagaan membekal daging lembu kepada peruncit kini hanya sekadar cukup makan sahaja malah kadang kala terpaksa menanggung rugi jika gagal menguruskannya dengan baik.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengikut harga dari pengimport yang mengambil bekalan dari luar negara.

"Kejatuhan nilai ringgit menyebabkan pengimport naikkan harga lembu dan kerbau.

“Bagaimanapun yang menanggung beban ialah pembekal daging kerana tidak dapat menaikkan harga," katanya.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan pembekal tidak ada pilihan selain terpaksa membelinya walaupun harganya sangat tinggi hingga terpaksa menanggung kerugian.

"Sebelum kejatuhan nilai wang saya boleh membeli lembu sebanyak lapan ekor dengan harga RM21,000 sahaja tetapi kini terpaksa membayarnya hingga RM30,000.

"Pernah kami berbincang dengan pengimport lembu tetapi mereka memberi alasan kejatuhan nilai ringgit menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga,” katanya.

Justeru katanya, pembekal merayu kepada pihak berkuasa supaya dapat menaikkan harga daging bagi mengelakkan  mereka gulung tikar.

Kejatuhan nilai ringgit dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyebabkan pembekal sukar membekalkan daging kepada peruncit dengan harga yang ditetapkan oleh kerajaan sebanyak RM29 sekilogram.

Bagi Mohd Hambali Ahmad, 52, pula, sejak pelaksanaan GST sudah ramai pembekal daging menutup perniagaan mereka.

Katanya, cukai yang dikenakan pada makanan lembu serta pengangkutan menyebabkan pembekal menanggung kos yang tinggi.

“Pernah kami cuba naikkan harga lembu kepada peruncit tetapi mereka menolak dengan alasan kerajaan telah menetapkan harga tersebut.

"Mungkin beberapa hari lagi pembekal terpaksa menaikkan harga daging bagi menanggung kos yang dihadapi oleh pembekal daging,” katanya.

Sumber: Sinar Harian