Ayatollah Ali Khamenei |
Pemimpin agung Syiah Iran, Ayatollah Ali Khamenei mengisytiharkan tiga hari berkabung susulan tragedi rempuhan Mina yang mengakibatkan lebih 700 jemaah haji meninggal dunia, termasuk sekurang-kurangnya 90 rakyat Iran.
Pada masa sama, Ayatollah menyifatkan insiden malang tersebut berpunca ekoran ‘salah pengurusan’ dan ‘langkah yang tidak sesuai’ telah diambil oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Berikutan itu, beliau memohon agar kerajaan Arab Saudi untuk bertanggungjawab sepenuhnya terhadap malapetaka yang berlaku pada Khamis itu.
“Salah urus dan langkah-langkah yang tidak wajar menyebabkan tragedi ini tidak boleh dilupakan.
“Kerajaan Saudi perlu memikul tanggungjawab dalam insiden pahit ini dan menunaikan kewajipannya berlandaskan kebenaran dan keadilan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Setakat ini, kejadian rempuhan di Mina itu sudah mengorbankan 717 nyawa manakala sekurang-kurangnya 863 lagi cedera. – Agensi