Beberapa penduduk menunjukkan laluan sementara yang dibuat untuk menghubungkan penduduk Taman Bestari Fasa 1 dan 2. |
BANDAR BAHARU - Penduduk Taman Bestari di sini, meminta pihak berkenaan membina jalan yang menghubungkan kawasan perumahan fasa satu dan dua bagi memudahkan mereka keluar masuk.
Imam di surau Taman Bestari, Jalaluddin Abdullah, 62 berkata, projek perumahan fasa dua siap beberapa bulan lalu, namun jalan untuk menghubungkan kawasan tersebut tidak dibina.
Menurutnya, malah jalan untuk ke surau yang terletak di fasa satu juga tidak dibina.
"Disebabkan masalah ini, penduduk dari fasa dua terpaksa melalui jalan utama jika mahu ke surau atau kedai yang berada di fasa satu.
"Keadaan ini membahayakan penduduk kerana jalan utama sememangnya sentiasa sibuk dengan pelbagai kenderaan," katanya.
Jalaluddin berkata, jarak kawasan perumahan itu dengan surau tidak jauh, tetapi penduduk terpaksa keluar ke jalan utama untuk ke situ.
"Keadaan ini akan membuang masa padahal jarak antara dua kawasan ini sangat dekat.
"Sekiranya jalan ini dibina, ia akan menjamin keselamatan penduduk," katanya.
Katanya, disebabkan hal itu juga, program yang dibuat di surau kurang mendapat sambutan.
"Berikutan masalah jalan ini, ramai penduduk keberatan untuk menyertai program di surau,” katanya.
Sumber: Sinar Harian