Penganjur Bersih 4 Enggan Bayar RM65,000, Sedia Ke Mahkamah Jika Perlu

Maria Chin Abdullah
Pihak penganjur Bersih 4 dilaporkan enggan membayar sebarang tuntutan kos pembersihan berjumlah RM65,000 sebagaimana yang disebut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan semalam.

Sebaliknya, Pengerusinya Maria Chin Abdullah menegaskan pihaknya mencabar dan meminta semua bukti berhubung tuduhan mengotorkan ibu negara itu seperti yang didakwa Abdul Rahman supaya boleh dikemukakan di mahkamah nanti.

"Kemukakan bukti, kita akan jawab di mahkamah," katanya ringkas kepada media selepas selesai memberikan keterangan kepada pihak berkuasa tentang penganjuran Bersih 4 yang dilaporkan menyusahkan persiapan menyambut Hari Kebangsaan 2015 baru-baru ini.

Semalam, Abdul Rahman berkata kerajaan akan menghantar bil tuntutan yang dianggarkan kira-kira RM65,000 kepada pertubuhan itu untuk menampung kos membersihkan kawasan tempat perhimpunan BERSIH 4 diadakan.

Menteri itu berkata, kos tambahan itu bagi membersihkan kawasan digunakan dalam perhimpunan 34 jam itu di kawasan Kuala Lumpur sahaja oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Selain Maria, turut dipanggil adalah beberapa aktivis Bersih seperti Sarajun Hoda Abdul Hassan, Masjaliza Hamzah, Farhana Halim, Fadiah Nadwa Fikri, Mandeep Singh dan Adam Adli Abdul Halim.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 120, 124C, 140 dan 141 Kanun Keseksaan sementara Mandeep disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sebelum ini dilaporkan bahawa pihak penganjur Bersih tidak takut dengan sebarang dakwaan atau siasatan pihak berkuasa membabitkan himpunan tanpa permit yang dianjurkan mereka kerana mempunyai kumpulan peguam yang sedia membela mereka dari sudut perundangan. -Kedahnews.com