Penggunaan Kren Di Masjidil Haram Ditangguh Hingga Selesai Musim Haji

Tragedi kren tumbang di Masjidil Haram yang meragut 111 korban nyawa
Makkah - Penggunaan kren dalam projek pembesaran Masjidil Haram ditangguhkan sehingga musim haji selesai.

Keputusan itu dibuat berikutan tragedi kren terhempas Jumaat lalu yang meragut 111 nyawa dan mencederakan 331 yang lain.

Hisham Al-Faleh, penasihat Emir Makkah Khaled Al-Faisal yang juga pengerusi jawatankuasa penyiasat kejadian itu berkata, semua kren akan diperiksa bagi memastikan mereka berada di kedudukan yang betul.

Pihaknya juga meminta bantuan jurutera Saudi Aramco dan Majlis Jurutera Saudi untuk memberi pendapat masing-masing mengenai punca kejadian dan cara terbaik bagi mengalihkan runtuhan tanpa menyebabkan lebih banyak kerosakan.

Menurut Hisham, kerja membaiki sudah dijalankan di sebahagian besar kawasan yang rosak di bawah arahan jawatankuasa teknikal Kementerian Pelajaran.

Ini termasuk jambatan tawaf dan sebahagian besar kawasan sai dan kebanyakan kawasan itu sudah dibuka semula kepada jemaah, kecuali sebahagian kecil kawasan sai dan bahagian timur Masjidilharam.

“Kami masih menanti pendapat teknikal mengenai cara mengalihkan kren yang tersadai pada tembok kawasan sai,” katanya.

Tiga pakar dari Liebherr, syarikat Jerman yang membekalkan kren itu berada di Arab Saudi sejak Sabtu lalu, 24 jam selepas tragedi, bagi membantu siasatan. - Agensi