Jiang Shengfa |
Niat untuk membantu jirannya membaiki wayar bervoltan tinggi, menjadi detik hitam dalam hidup Jiang Shengfa, 41, apabila kehilangan kedua tangannya akibat terkena renjatan elektrik, pada tahun 1996.
Meskipun begitu, ia tidak sedikit pun menjadi penghalang untuk dia terus mencurahkan baktinya kepada masyarakat.
Jiang berkhidmat sebagai guru ganti di Sekolah Rendah Anle di Kampung Chang’an, dekat wilayah Yunan, China sejak belasan tahun lalu. Ia merupakan sebuah perkampungan pergunungan terpencil di mana ramai anak muda menolak untuk hidup dan bekerja di sana.
Dengan semangat yang kuat, Jiang menggunakan anggota badan dan mulutnya untuk menyelak helaian buku serta memegang kapur ketika sesi mengajar dalam kelas bersama kira-kira 40 orang murid.
“Kampung ini sangat miskin. Tiada guru yang sanggup mengajar di sini. Semua anak muda yang berpelajaran memilih untuk mencari kerja di tempat lain. Saya lihat anak-anak di kampung ini kehilangan hak pendidikan,” katanya.
Selain itu, pendidik yang sanggup berjalan kaki sejauh 8 kilometer setiap hari dalam keadaan jalan yang curam dan berlumpur ini turut berjaya menguasai seni khat Cina menggunakan anggota badan.
Sejak beberapa tahun lalu, Jiang menerima pelbagai anugerah termasuk Candle Light Award dari Yayasan Pembangunan Belia China sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya mendidik anak bangsa. – Daily Mail