Keadaan Muhamad Faris yang dipenuhi wayar di badannya. |
ALOR SETAR - Hati ibu mana yang tidak tersentuh melihatkan bayi berusia dua bulan terpaksa menanggung derita apabila ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kardiologi Pediatrik (PCICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) setelah dikesan hanya memiliki paru-paru sebelah kiri sahaja.
Siti Nabila Bahador, 23, berkata, paru-paru anak lelakinya, Muhamad Faris Danial yang dilahirkan Julai lalu juga didapati tidak tumbuh.
Menurutnya, disebabkan itu mereka difahamkan paru-paru kanan anaknya itu tidak berfungsi.
"Jantung Muhamad Faris pula terletak di tengah badan, malah dia juga turut berdepan masalah saluran darah sempit.
"Sebelum ini anak saya ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) namun dibawa ke HPP," katanya yang tinggal di Kampung Perupok, Jitra.
Siti Nabila berkata, hatinya sebak mengenangkan wayar memenuhi tubuh badan anaknya yang masih kecil.
"Saya harap Muhamad Faris dapat dibedah segera," katanya.
Katanya, dia dan suaminya, Mohd Fandi Hassan, 25, berharap anak mereka mampu sembuh dan sihat seperti bayi normal lain.
"Kami perlukan wang lebih RM50,000 untuk menampung segala keperluan Muhamad Faris antaranya untuk kos ubat-ubatan selain barang keperluan bayi.
"Kami difahamkan kos gas khas yang perlu digunakan Muhamad Faris untuk membantu mematangkan paru-parunya sahaja sudah menelan belanja RM48,000," katanya.
Disebabkan itu katanya, mereka mengharapkan bantuan kewangan daripada mana-mana pihak bagi membolehkan Muhamad Faris dibedah segera.
Bagi mereka yang berhasrat membantu Muhamad Faris boleh menghubungi talian 014-3259205 ataupun melalui akaun Bank Simpanan Nasional milik ibunya 0200241000103714.
Sumber: Sinar Harian