Penyakit Anjing Gila: 1,639 Anjing Peliharaan Di Kedah Disuntik Vaksin

Pegawai Veterinar, Dr Lee Chian Hoey menyuntik vaksin anti rabies kepada anjing peliharaan sempena kempen pemvaksinan dan kesedaran di Kampung Baru, semalam.
POKOK SENA - Sebanyak enam kes gigitan anjing dilaporkan berlaku di Kedah melibatkan daerah Kubang Pasu dan Kota Setar, namun hanya satu sampel, iaitu di Tanjung Bendahara (Kota Setar) didapati positif penyakit anjing gila atau rabies.

Pengarah Perkhidmatan Veterinar Kedah, Dr Kamaliah Ghazali berkata, tiga kes direkodkan pada Ahad lalu, manakala dua kes (Isnin) dan satu kes pada Khamis.

“Sebanyak 34 sampel daripada anjing liar diambil untuk pengesahan penyakit anjing gila atau rabies sepanjang tempoh 19 Ogos hingga 17 September, selepas bilik operasi kawalan dibuka semula di dua daerah terbabit sejurus Perlis diisytiharkan kawasan jangkitan,” katanya, pada sidang media, sempena kempen kesedaran dan survelan serta pemvaksinan, di Kampung Baru, kelmarin.

Menurutnya, pada Ahad lalu, Institut Penyelidikan Veterinar mengesahkan 17 sampel survelan  daripada anjing liar didapati positif penyakit rabies, meliputi kawasan  Kodiang, Padang Sera, Jitra, Bukit Kayu Hitam, Changloon, Sanglang, Anak Bukit dan Bukit Pinang.  

Dr Kamaliah berkata, sejak Januari lalu, sebanyak 1,639 anjing diberikan vaksinasi dan 476 anjing liar dilupuskan, manakala 65 sampel diambil, di mana 18 (anjing liar) daripadanya adalah positif.

“Pewartaan di Kedah berbeza dengan Pulau Pinang, di mana kawalan penyakit anjing gila melalui pemvaksinan dibuat setiap tahun, bawah Perintah Suntikan Pencegahan Penyakit Anjing Gila, Seksyen 42, Akta Binatang 1953 (Akta 647), di tujuh daerah, iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling,” katanya.

Menurutnya, daerah terbabit dikategorikan sebagai daerah penampan kerana terletak bersempadan Thailand, di mana aktiviti kawalan dilaksanakan oleh Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah masing-masing.

Dr Kamaliah berkata, selepas Kedah diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan penyakit rabies pada 17 September, pihaknya membuat tambahan aktiviti suntikan pencegahan rabies di lima lagi daerah, iaitu Yan, Kuala Muda, Kulim, Bandar Baharu dan Langkawi.

Mengulas mengenai bekalan vaksin, Dr Kamaliah mengesahkan bekalan sedia ada hanya sekitar 20 peratus dan tambahan vaksin diperlukan bagi menampung keperluan di lima daerah bukan penampan.

Menurutnya, vaksin dikenakan bayaran RM5/setahun dan anjing terbabit dipantau menerusi pemberian tag yang diikat pada lehernya.

“Dalam tempoh 14 hari selepas diberikan vaksin, anjing itu dikuarantin untuk mengesan tanda-tanda klinikal rabies. Anjing yang tidak menunjukkan tanda-tanda rabies selepas tempoh itu boleh dikeluarkan dari kuarantin,” katanya.

Dianggarkan populasi anjing di negeri ini adalah 10,000 anjing peliharaan dan 10,000 lagi adalah anjing liar.

Dr Kamaliah turut mengingatkan pemilik anjing agar kuarantinkan anjing peliharaan mereka sementara waktu, sekurang-kurangnya dua bulan bagi mengelak haiwan itu terdedah kepada anjing liar yang dijangkiti rabies.

“Ini kerana dalam tempoh itu virus berkenaan masih aktif dan mudah dijangkiti melalui gigitan mahupun rembesan air liur. Pemilik diharap bertanggung jawab menjaga haiwan mereka dengan baik, elakkan ke tempat awam kerana kita mahu kurangkan populasi anjing liar yang dijangkiti, bagi memastikan penyakit tidak merebak,” katanya.

Sumber: Sinar Harian