Mohd Khairul Ikhwan menunjuk bahagian belakangnya yang dipukul pencuri dengan kayu. |
LUBUK MERBAU - Seorang penyelia ladang Felda Lubuk Merbau, di sini, berdepan detik cemas diacukan dengan sebilah parang dan dibelasah dengan sebatang kayu oleh sekumpulan lelaki yang mencuri hasil tanaman labu di kawasan ladang getah Felda Lubuk Merbau.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang pada Isnin lalu, mangsa, Mohd Khairul Ikhwan Abdullah, 45, yang ketika itu sedang berehat dalam pondok dimaklumkan pekerjanya mengenai beberapa individu dilihat sedang mencuri labu dan pucuk sayur.
"Saya terus ke kawasan dimaklumkan dan lihat but sebuah kereta Honda Civic yang diletakkan dekat pagar ladang dipenuhi dengan labu dan pucuk sayur itu.
"Bila saya datang dekat lagi, saya lihat ada tiga lelaki sibuk kutip labu dan pucuk untuk dimasukkan dalam but kereta," katanya.
Menurutnya, dia terus menegur tindakan tiga lelaki terbabit sebelum ketiga-tiganya pergi ke kereta mengeluarkan sebilah parang dan kayu.
"Mereka kata saya berlagak macam samseng menegur menyebabkan mereka tak puas hati dan mula serang saya.
"Mulanya saya anggap mereka cuma mahu takutkan saya... tapi tak lama kemudian, seorang dari mereka yang pegang kayu datang dekat dan pukul belakang saya.
"Mujur saya tak jatuh dan nekad melawan sebelum ketiga-tiga masuk dalam kereta dan memecut," katanya.
Beliau berkata, pukulan itu menyebabkan bahagian belakang badannya lebam.
"Selepas kejadian itu kawan bawa saya ke klinik mendapatkan rawatan.
"Mujurlah doktor kata kecederaan saya tak teruk dan hanya diberi ubat sapu," katanya
Dalam pada itu, katanya, beberapa kejadian kecurian pernah berlaku di ladang berkenaan, bagaimanapun ia tidak membabitkan sebarang kecederaan.
"Kalau sebelum ini, pencuri akan lari bila lihat pekerja ladang datang, tapi kali ini nampaknya mereka ini makin berani.
"Mungkin mereka marah sebab kena tegur hingga menyebabkan pertengkaran dan memukul saya.
"Apapun saya kecewa dengan tindakan mereka mencuri labu dan pucuk sayur... kalau mereka beritahu nak ambil untuk makan, kami boleh bagi. Tapi kalau mencuri macam ini, pemilik ladang mesti marah," katanya.
Berikutan kejadian itu dan bimbang keselamatannya terancam, Mohd Khairul Ikhwan membuat laporan kejadian di Balai Polis Naka.
Dalam pada itu, kerugian akibat kecurian hasil tanaman labu berkenaan dianggarkan kira-kira RM500.
Sementara itu, Ketua Polis Padang Terap, Deputi Superintendan Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Sumber: Sinar Harian