PERHATIAN: Status Penyakit Anjing Gila Di Kedah, Perlis Dan Pulau Pinang

Wabak "Rabies" di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang
PUTRAJAYA – Penyakit Rabies (penyakit anjing gila) merupakan penyakit zoonotic (penyakit yang boleh menjangkiti manusia daripada anjing).

Virus ini boleh menjangkiti anjing melalui luka gigitan, luka terbuka pada kulit air liur, cairan atau tisu tubuh yang terjangkit.

Penyakit ini menyerang sistem saraf anjing dan manusia boleh dijangkiti melalui gigitan anjing yang terjangkit.

Tempoh inkubasi penyakit ini antara 15 hari sehingga enam bulan.

Diagnosis klinikal penyakit ini melalui pemerhatian tanda-tanda klinikal serta sejarah pendedahan virus (virus exposure) pada anjing. Antara tanda-tanda klinikal pada anjing yang perlu diperhatikan termasuk perubahan kelakuan samada agresif (menyerang objek yang bergerak seperti manusia dan haiwan lain) atau moyok/ dungu, lumpuh (paralysis) dan berakhir dengan kematian.

Diagnosis pengesahan melalui ujian Direct Fluorescent Antibody Test (Ujian pengesanan antibodi) dan Polymerase Chain Reaction (PCR- ujian pengesanan antigen).

Kes terakhir penyakit Rabies di Malaysia adalah pada tahun 1999 dan Malaysia telah mendapat status bebas penyakit Rabies daripada OIE (Office International des Epizooties / Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia) pada tahun 2012.

NEGERI PERLIS

Kes terbaru Rabies di Malaysia disahkan pada 17 Ogos 2015 di negeri Perlis. Seekor anjing telah mengigit tuannya pada 27 JULAI 2015 di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit dan dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Perlis (DVS) pada 28 JULAI 2015.

DVS Perlis telah mengambil tindakan dengan mengarahkan anjing tersebut dikuarantin di rumah serta membuat pemantauan harian.

Pada 30 JULAI 2015 (hari kedua di kuarantin), anjing tersebut telah mati dan sampel otak anjing tersebut telah dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh untuk membuat pengesahan diagnosis penyakit Rabies. 17 OGOS 2015, VRI telah mengesahkan penyakit Rabies.

Pewartaan sebagai kawasan wabak penyakit Rabies di Perlis telah dibuat peringkat Kerajaan Negeri pada 19 OGOS 2015. Penyakit ini telah merebak di Perlis kepada beberapa kawasan termasuk Kubang Tiga, Panggas Besar, Guar Nangka dan Pauh sehingga 10 September 2015.

Sehingga kini seramai 200 orang kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dari semua negeri di Semanjung Malaysia turut serta terlibat dalam operasi kawalan dan pencegahan wabak penyakit Rabies ini.

Status Operasi kawalan oleh DVS di Negeri Perlis seperti berikut:

– Vaksinasi dan perlesenan: 740 ekor
– Kawalan anjing terbiar (pemusnahan): 256 ekor
– Anjing menunjukkan tanda klinikal: 14 ekor
– Bilangan premis dibanci: 875 ekor
– Bilangan sampel: 65
– Bilangan sampel positif: 8 (4 anjing bertuan, 4 anjing liar)
– Mangsa gigitan: 22 orang
– Kesedaran awam: 7535

NEGERI KEDAH

Dalam langkah kawalan dan pencegahan penyakit Rabies, DVS Negeri Kedah telah menjalankan survelan dan persampelan bermula sejak hujung Ogos 2015 di daerah Kubang Pasu dan Kota Setar melalui pemusnahan anjing terbiar/liar.

Pada 13 September 2015, VRI memaklumkan kes positif Rabies terhadap sampel dari Negeri Kedah. Sementara itu, dilaporkan 5 kes gigitan anjing pada manusia (3 kes pada 13/9, 2 kes pada 14/9) di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu.

Hanya Seekor anjing sahaja dapat ditangkap daripada 5 kes dan ujian ke atas sampel anjing mengesahkan penyakit Rabies. Setakat ini 17 sampel daripada anjing terbiar/liar telah didapati positif penyakit Rabies.

Pewartaan bagi Perintah Kawasan Jangkitan Anjing Gila dan Perintah Suntikan Pencegahan Anjing Gila telah diwartakan hari ini untuk keseluruhan negeri Kedah.

Seramai 30 orang kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah telah memulakan operasi kawalan dan pencegahan penyakit Rabies ini dan sedang menunggu bantuan dari kakitangan DVS dari negeri-negeri lain.

Status Operasi kawalan oleh DVS di Negeri Kedah seperti berikut:

– Vaksinasi dan perlesenan: 1639 ekor
– Kawalan anjing terbiar(pemusnahan): 476 ekor
– Bilangan sampel: 65
– Bilangan sampel positif : 17 (anjing terbiar)
– Mangsa gigitan: 5 orang
– Kesedaran awam: 56

NEGERI PULAU PINANG

Bagi kes berikutnya di Pulau Pinang, seorang kanak-kanak digigit anjing di Balik Pulau dan sampel telah diambil dan disahkan positif bagi penyakit Rabies pada 16 September 2015.

Operasi kawalan dan pencegahan penyakit Rabies akan dimulakan sebaik sahaja pewartaan sebagai kawasan wabak penyakit Rabies di buat diperingkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Jawatakuasa di antara agensi (KKM, PBT, Daerah, Negeri dan lain-lain agensi berkaitan) telah diaktifkan untuk memberikan kerjasama dengan pihak DVS dalam menangani wabak Rabies.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mengambil langkah strategik kawalan dan pencegahan penyakit Rabies khususnya di tiga negeri yang disahkan wabak Rabies.

Antara tindakan utama yang dilaksanakan adalah kawalan pemusnahan dan persampelan anjing terbiar/liar atau tidak bertuan; mempertingkatkan kempen kesedaran awam supaya anjing perlu di vaksinasi dan dilesenkan khususnya di kawasan zon penampan sekitar jarak 30 km dari sempadan negara Thailand (Immune–Belt); anjing yang bertuan dinasihatkan supaya mengurung/mengawal anjing dari terdedah kepada anjing-anjing liar; kawalan pemindahan serta kawalan import.

SUMBER: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Dr. Nor Nazihah Bt Ahmad Ruslan
Pegawai Perhubungan Awam
Tel : 017-369 5636 / 03 – 8870 2380 – BERNAMA