Gambar Hiasan |
ALOR SETAR – Jabatan Perhilitan Kedah mematahkan cubaan menyeludup keluar 97 tenggiling bernilai RM100,000 ke Thailand dalam satu serbuan di Kampung Padang Buloh, Sungai Petani, pagi semalam.
Pengarahnya Mohd Hafid Rohani berkata, semua tenggiling itu ditemui di dalam bonet dua kereta selepas anggotanya memeriksa sebuah rumah di kampung berkenaan pada pukul 5.15 pagi.
Mohd Hafid berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki berumur 40 tahun untuk siasatan lanjut selain menyita dua kereta yang digunakan suspek dalam urus niaga haram hidupan liar itu.
“Tenggiling itu dipercayai akan dijual ke Thailand di mana harga dagingnya mencecah RM300 hingga RM500 sekilo,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tenggiling merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan juga spesies yang terjadual di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesis Terancam 2008 (Akta 668).
Semua tenggiling itu akan dilepaskan ke habitat asal selepas mendapat perintah pelupusan daripada mahkamah, katanya.
Kes itu menurutnya, disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA