Kuarters lama di Jalan Pegawai Sungai Petani yang dibaik pulih menjadi Kompleks Dakwah, Kebajikan dan Pendidikan Perkim Cawangan Daerah Kuala Muda. |
SUNGAI PETANI – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Daerah Kuala Muda memerlukan dana lebih besar dalam usaha membangunkan Kompleks Dakwah, Kebajikan dan Pendidikan (KDKP).
Pengerusinya, Abdul Hamid Abdul Kadir berkata, pihaknya masih memerlukan dana dari syarikat korporat, agensi atau pertubuhan untuk menjayakan projek di KDKP.
Menurutnya, setakat ini, pihaknya ada menerima dana dari beberapa badan korporat untuk tujuan berkenaan namun masih belum mencukupi.
“Kita bakal membuka sebuah taska, tadika, ruang pejabat dan cadangan klinik wakaf untuk kegunaan ahli serta golongan sasar, terutama asnaf dan fakir miskin.
"Selain itu, kita juga mahu wujudkan rumah transit dan pusat hemodialisis dengan kerjasama Pusat Hemodialisis Zakat Kedah,” katanya pada Majlis Korban Perdana Perkim Cawangan Daerah Kuala Muda di KDKP, semalam.
Hadir sama, Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim Kebangsaan, Datuk Hasbullah L Isa.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, sejak diberi kebenaran menduduki 13 unit kuarters Telekom Sungai Petani untuk dijadikan KDKP pada 2013, pihaknya sudah mengubah suai sebuah unit menjadi ruang pejabat manakala sebuah lagi menjadi taska dan tadika.
“Setakat ini beberapa program dilaksanakan di sini, namun masih banyak lagi unit kuarters yang usang kerana belum ada dana yang mencukupi untuk tujuan baik pulih.
"Malah, cadangan menjadikan 10 unit kuarters sebagai rumah transit akan diteruskan," katanya.
Sementara itu, Hasbullah berkata, Perkim berharap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan korporat Islam dapat menyumbang kepada Perkim untuk membantu membiayai rumah transit yang ingin dibangunkan.
"Rumah transit berkenaan yang berkonsepkan perlindungan sementara akan digunakan mualaf.
"Setiap badan korporat yang menyumbang akan dinamakan di setiap rumah transit yang dibantu," katanya.
Maklumat lanjut boleh diperoleh di Bangunan Perkim di alamat 312, Taman Bandar Baru atau di KDKP Jalan Pegawai, Sungai Petani.
Sumber: Sinar Harian