Perlis Negeri Maju 2015: Azlan Man Tumpu Kebersihan, Keindahan, Keceriaan

Gambar Hiasan - Negeri Perlis
ARAU – Kerajaan Negeri Perlis memberi tumpuan terhadap aspek kebersihan, keindahan dan keceriaan selaras dengan matlamat Perlis Negeri Maju 2015, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata aspek itu perlu meliputi kawasan bandar dan luar bandar serta sungai dan tali air.

“Keindahan serta kebersihan bandar dan luar bandar perlu mencapai markah melebihi 65 peratus kerana jika kurang dari tahap tersebut bermakna ia amat tidak memuaskan untuk Perlis diiktiraf sebagai negeri maju.

“Pengindahan sungai dan tali air juga penting dengan mengambil kira peratusan kawasan yang disediakan landskap yang sesuai,” katanya pada majlis perasmian Festival Landskap dan Pertanian 2015 anjuran pelajar Diploma Pengurusan Ladang dan Pengurusan Agroteknologi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis di universiti itu di sini Khamis.

Datuk Seri Azlan Man.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Romli Dai.

Azlan berharap penganjuran festival berkenaan oleh pelajar semester dua UiTM itu akan dapat membantu kerajaan negeri dalam mencapai peratus lebih tinggi dalam aspek itu.

Katanya, kegagalan mencapai aras yang sebenarnya akan merencatkan proses pengiktirafan Perlis sebagai sebuah negeri maju dan seterusnya boleh menjejaskan matlamat Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

Terdahalu dalam ucapannya, Timbalan Rektor UiTM Perlis, Prof Madya Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak berkata menerusi program itu, pelajar terbabit akan diberikan 20 peratus markah dalam pengajian mereka.

Katanya, festival selama tiga hari bermula semalam diisi dengan pelbagai pameran dan aktiviti sampingan yang dijangka dapat menarik lebih 15,000 pengunjung terdiri daripada orang ramai dan warga kampus. – BERNAMA