Perlis Sah Bebas Dari Wabak Penyakit Anjing Gila - Pengarah Kesihatan

Gambar Hiasan
KANGAR – Perlis disahkan bebas ancaman penyakit anjing gila walaupun dilaporkan 17 orang telah digigit anjing dari 26 Julai sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Perlis Dr Zaini Hussin berkata, kesemua mangsa yang berumur antara tiga hingga 60 tahun diberi rawatan segera dan disahkan bebas jangkitan penyakit anjing gila.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini, beliau menjelaskan, kebanyakan mangsa digigit anjing liar dan beberapa kes digigit anjing peliharaan.

Katanya, Jabatan Veterinar yang memeriksa anjing-anjing yang menggigit mangsa mereka mendapati ada antara binatang itu pembawa penyakit anjing gila.

“Semua mangsa dipantau berterusan selain disuntik dengan vaksin pencegahan penyakit anjing gila,” katanya.

Menurutnya kawasan yang dilaporkan kerap berlaku serangan anjing ialah Kaki Bukit, Lubuk Sireh dan Kubang Tiga dalam Parlimen Padang Besar yang mempunyai ramai penduduk keturunan Cina dan Siam yang memelihara anjing.

Menurut Dr Zaini, penyakit anjing gila kali terakhir berlaku di Perlis pada 1997 dan diisytiharkan bebas sepenuhnya 2013.

Katanya Hatyai dan Songkhla di selatan Thailand dilaporkan masih terdedah kepada ancaman penyakit anjing gila yang berkemungkinan menjadi punca penularan penyakit itu di Perlis.

Menurut beliau pihak berkuasa di Perlis membuat pemantuan dan sekatan jalan raya bagi mencegah kemasukan anjing dari negara jiran itu bagi memastikan penyakit anjing gila tidak merebak ke negeri ini.

Dr Zaini berkata mereka yang terkena gigitan anjing gila berhadapan risiko menjadi gila apabila kuman yang menjangkiti mereka merebak ke bahagian otak.

Beliau menasihatkan orang ramai yang digigit anjing supaya mendapatkan rawatan segera di klinik kerajaan atau swasta serta membuat laporan kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut terhadap anjing terbabit. – BERNAMA