Perlu Pendekatan Lebih Berkesan Tangani Lumba Haram Mat Rempit

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya pihak berkuasa mencari pendekatan baharu yang lebih serius dan efektif bagi membanteras aktiviti lumba haram di kalangan golongan muda atau lebih dikenali sebagai mat rempit.

Ini kerana sudah ramai yang mati sia-sia akibat menjadi mangsa kepada aktiviti samseng jalanan ini. Walaupun tiada jumlah sebenar, hampir setiap bulan akan ada laporan kematian atau kecederaan melibatkan pengguna jalan raya dan anggota polis gara-gara menjadi mangsa kerakusan samseng jalanan ini.

Kejadian yang menimpa anggota polis trafik Inspektor Margaret Tagum Anak Goen, 32, yang maut akibat dilanggar mat rempit di Kluang, Johor, Ahad lepas merupakan antara bukti bahawa mat rempit terus berani melakukan kegiatan haram itu.

Gambar Hiasan
Timbul persoalan, tentang perlunya pihak berkuasa untuk segera tampil memperkenalkan tindakan undang-undang lebih tegas termasuk mengenakan hukuman penjara mandatori ke atas mat rempit jika didapati bersalah menyertai lumba haram.

Bagi Presiden Kelab Solidariti 1Malaysia Young Boys Datuk Jamal Md Yunos, undang-undang sedia ada untuk menghukum mereka sudah mencukupi namun usaha melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang berkenaan perlu lebih agresif.


Sehingga ini, samseng jalanan yang didapati bersalah terlibat dalam lumba haram akan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda minimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Jamal berkata kes jenayah melibatkan mat rempit juga akan terus meningkat jika tiada kerjasama daripada semua pihak untuk menangani aktiviti tidak bermoral itu.

“Kajian yang dilakukan kelab solidariti ini mendapati sehingga kini, 2.9 juta remaja seluruh negara memiliki motosikal dan separuh daripadanya adalah mat rempit.


“Kajian yang dibuat berdasarkan data statistik daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya itu juga menunjukkan setiap negeri mempunyai purata 100,000 mat rempit,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Kelab Solidariti 1Malaysia Young Boys yang ditubuhkan Mei lalu dan mempunyai 25,000 ahli terdiri daripada mat rempit seluruh negara, menjalankan pelbagai program berguna kepada ahlinya bagi menghindari aktiviti lumba haram serta pelbagai gejala sosial yang lain.

Selain kejadian yang menimpa Insp Margaret, kegiatan lumba haram di kalangan mat rempit juga telah mendatangkan kecederaan kepada anggota polis trafik dan pengguna jalan raya yang lain.

Pada 17 Ogos lepas, seorang samseng jalanan merempuh seorang anggota polis ketika cuba melepaskan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Kinabenua, Labuan, menyebabkan anggota bertugas itu patah tulang bahu dan buku lali dalam kejadian itu.

Di Muar, Johor pula, seorang konstabel polis cedera di mulut dan tangan selepas dirempuh motosikal mat rempit pada Jun lepas.


Seorang penunggang motosikal dirempuh sekumpulan samseng jalanan menyebabkan mangsa patah kaki di dalam kejadian di Lebuhraya Besraya menuju Balakong, Disember tahun lepas.

Mat rempit yang terlibat dengan lumba haram turut dikenakan hukuman setimpal, antaranya dua mat rempit masing-masing dihukum penjara sehari dan denda RM5,000 selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Trafik Kuala Lumpur pada Ogos tahun lepas atas tuduhan menunggang motosikal secara berbahaya dengan melakukan aksi ‘wheelie’.

Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abdul Latif tidak menafikan kegiatan lumba haram oleh samseng jalanan ini memang kerap berlaku, namun dengan hanya operasi membanteras menerusi Ops Selamat atau Ops Warta yang dilakukan pihaknya tidak mampu membanteras sepenuhnya kegiatan ini.

“Kita tidak dapat mengadakan operasi membanteras lumba haram setiap hari atau setiap minggu kerana kami mempunyai kekangan kerja lain dan bilangan anggota trafik yang tidak mencukupi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, operasi membanteras lumba haram tetap akan diteruskan dan pendekatan lebih berkesan akan diambil serta dilaksanakan dari semasa ke semasa. – BERNAMA