Peserta "Elit" Bersih 4 Akui Masih Kabur Objektif Himpunan Rakyat Bersatu

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku bahawa beliau masih lagi kabur mengenai objektif Himpunan Rakyat Bersatu yang berlangsung di Padang Merbok, semalam.

Beliau yang turut menyertai himpunan Bersih 4 sebelum ini berkata, adalah tidak munasabah untuk memberi komen mengenai perhimpunan baju merah di ibu negara itu kerana objektif peserta masih tidak jelas.

"Kami tidak tahu apa objektif perhimpunan itu," kata bekas perdana menteri pada satu sidang media di Cyberjaya.

Pada Selasa lalu, Dr Mahathir menggesa penganjur perhimpunan tersebut untuk membatalkan acara itu kerana beliau berpandangan bahawa himpunan itu kononnya tidak berjuang untuk orang Melayu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pihak penganjur memberi gambaran bahawa perhimpunan Bersih baru-baru ini sebagai bersifat perkauman untuk mewajarkan perhimpunan mereka.

"Mereka mengadakan perhimpunan tersebut kerana mereka kata perhimpunan Bersih bersifat perkauman. Tetapi perhimpunan Bersih tidak bersifat perkauman kerana setiap bangsa berhimpun di sana bersama-sama.

"Oleh itu, mereka menyifatkan Bersih bersifat perkauman untuk menunjukkan mereka memperjuangkan orang Melayu," katanya yang menyebelahi himpunan haram yang pernah beliau kecam sebelum ini. 

Tun Dr Mahathir sebelum itu hadir ke himpunan demonstrasi jalanan Bersih 4 untuk dua hari berturut-turut dalam usahanya menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib setelah berjaya menjatuhkan penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi. -Kedahnews,com