Peserta Kayuhan "Fit Malaysia" Meninggal Dunia, KJ Ucap Takziah

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Kee Ing Lam, 55, yang meninggal dunia semasa menyertai kayuhan Fit Malaysia di Pulau Pinang, semalam.

Khairy Jamaluddin berkata, mendiang meninggalkan isteri, Choong Po Yin dan dua anak Kee Shu Hui dan Kee Shu Xin.

“Laporan post mortem oleh Hospital Kepala Batas membuat kesimpulan bahawa serangan jantung sebagai punca kematian mendiang.

“Mendiang menyertai kayuhan 30 kilometer (km) sebelum diserang sakit jantung dan jatuh daripada basikal di Jalan Kubang Menerong, kira-kira 7km dari garisan permulaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Khairy Jamaluddin menjelaskan, mendian Ing Lam mempunyai rekod kesihatan berkenaan jantung dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung sebelum ini.

“Saya difahamkan bahawa jasad mendiang telah dibawa pulang ke rumah diiringi keluarga dan rakan-rakan kira-kira pukul 3 petang tadi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau dan seluruh warga Kementerian Belia dan Sukan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang. -Kedahnews.com