Pihak Berwajib Perlu Campur Tangan Masalah Penduduk Estet - Karupaiya

Karupaiya (berdiri, tengah) bersama bekas pekerja ladang Padang Meiha yang menuntut hak seperti dijanjikan.
PADANG SERAI - Bekas pekerja ladang estet Padang Meiha, di sini, masih lagi menaruh harapan hak mereka ditunaikan selepas diberhentikan kerja akibat ladang tersebut dipindah milik.

Biarpun sudah 22 tahun berlalu, bekas pekerja dan waris mengharapkan wang pampasan dan rumah kos rendah yang dijanjikan diterima mereka.

Naib Pengerusi dan Setiausaha Bekas Pekerja Ladang Padang Meiha, Mohd Ali Abdul Razak berkata, sehingga kini hanya 30 peratus daripada 187 bekas pekerja masih hidup dan mengharapkan hak mereka tertunai.

Menurutnya, pada 1997 satu penyelesaian dicapai antara bekas pekerja dengan syarikat terbabit yang berjanji akan membuat bayaran pampasan dan menyediakan rumah kos rendah dibina atas tanah tersebut dengan harga subsidi.

“Dulu kita bawa ke mahkamah, jadi pihak syarikat yang membeli tanah tersebut dan bekas pekerja mencapai kata sepakat dengan menandatangani perjanjian di mana pihak syarikat akan membayar wang pampasan mengikut tempoh berkhidmat dan membina rumah kos sederhana yang ketika itu berharga kira-kira RM23,000, maksudnya pekerja bayar separuh harga rumah.

“Mengikut syarat itu juga bekas pekerja boleh terus tinggal di kediaman pekerja ladang sehingga syarat perjanjian itu diselesaikan pihak syarikat dengan bekalan air dan elektrik dibekalkan secara percuma.

“Namun saban tahun kami menunggu, sehingga ke hari ini apa pun kami tak dapat. Bekas pekerja pun sudah ramai yang meninggal, hanya ada waris anak atau isteri saja. Ke mana lagi mereka mahu pergi ketika umur sudah meningkat ini,” katanya.

Bekalan air, elektrik sering terganggu

Mohd Ali yang juga waris kepada bapanya Abdul Razak Junda Khan yang meninggal beberapa tahun lalu mendakwa penduduk sering mengalami masalah bekalan air dan elektrik terutama ketika waktu pagi.

“Kami sudah cuba minta Syarikat Air Darul Aman (Sada) buat pemasangan bekalan air, namun hanya separuh jalan kerana pemilik tanah tak benarkan. Jadi sekarang kami terpaksa bergantung kepada bekalan air dari syarikat pemilik ladang begitu juga elektrik.

“Tapi waktu pagi sekitar jam 6 pagi, bekalan elektrik mesti terputus, anak-anak nak ke sekolah, ibu bapa nak pergi kerja memang susah, apabila kami tanya kepada pemilik ladang, mereka cakap mahu jimat kos elektrik,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan masalah yang dihadapi bekas pekerja ladang yang masih belum mendapat hak mereka yang dipersetujui oleh syarikat terbabit dan pelbagai cara sudah dilakukan namun masih tidak membuahkan hasil.

Bekas pekerja kecewa

Manakala, bekas pekerja Yusoff Darus, 69, berkata, dia sangat sedih dan kecewa wang pampasan dan rumah kos rendah yang dijanjikan masih tidak diperoleh sehingga kini.

“Hampir 20 tahun saya bekerja dengan ladang ini, saya tak ada tempat lain untuk berlindung, hanya di sini. Saya tak ada harta, wang pampasan dan rumah yang dijanjikan menjadi harapan saya.

“Saya rasa seperti seorang pengemis pula, sedangkan itu hak saya. Saya juga mahu rasa wang itu sebelum saya pergi buat selamanya,” katanya sedih.

Malah, bagi Jugunazan Perumal, 58, yang bekerja di situ pada usia 17 tahun berkata, sekiranya pihak syarikat terbabit tidak mampu untuk menunaikan perjanjian tersebut, mereka boleh memindah hak milik tanah yang diduduki kepada bekas pekerja.

“Kalau tak mampu nak bayar, bagilah tanah yang kami duduk ini, ubah hak milik kepada kami. Boleh kami nak buat penambahan rumah dan apa-apa yang kami suka.

“Rumah ini pun semakin usang, kalau kami nak tambah nanti mereka nak balik, siapa pula nak bayar ganti rugi,” katanya.

Seorang lagi bekas pekerja Robiah Ahmad, 56, berkata, hampir 20 tahun dia bekerja di ladang tersebut namun kecewa kerana masih tidak menerima sebarang bayaran atau pampasan sehingga kini.

“Saya sedih, siapa yang boleh bantu nasib kami, kepada siapa perlu kami mengadu lagi. Saya tak ada harta lain, di sini lah saya akan menghabiskan sisa hidup. Saya nak keluar dari sini, saya nak kerja apa nak ambil duit di mana untuk tampung kos hidup?.

“Kalau dapat duit pampasan ini, boleh juga saya buat pergi haji atau menampung keperluan lain, sudah berpuluh tahun saya dan kawan-kawan menunggu. Sampai bila lagi, kami juga nak rasa duit kami sebelum kami tak ada di muka bumi ini,” katanya.

Pihak berwajib perlu campur tangan

Dalam pada itu, Ketua PKR Cabang Padang Serai, M Karupaiya berkata, pihak berwajib perlu segera campur tangan dan selesaikan masalah supaya hak rakyat dapat dibela dengan seadilnya.

“Perkara ini sudah berlarutan sehingga melebihi 20 tahun dan saya difahamkan ramai juga bekas pekerja ladang yang meninggal dan hanya tinggal waris sahaja. Tapi saya yakin, bekas pekerja yang masih hidup mahu menikmati hak mereka.

“Mereka yang tinggal di sini juga sering tertekan kerana masalah air dan elektrik, kalau mereka nak pindah ke mana pula mereka mahu pergi, mereka bukannya orang senang dan masih kuat untuk bekerja. Saya harap pihak berwajib dan terlibat perlu segera selesaikannya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian