Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syukri Razab |
KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang cemas dengan keputusan pilihan raya kampus baru-baru ini mendakwa tiada apa yang boleh dibanggakan kerajaan dengan kemenangan besar kumpulan mahasiswa pro-kerajaan kali ini.
Setiausaha Pengelolanya, Syukri Razab mendakwa, kemenangan besar kumpulan mahasiswa pro-kerajaan itu bukan satu perkara yang boleh membuktikan mahasiswa telah cenderung kepada kerajaan.
Ironinya, parti pembangkang sebelum ini sering mewar-warkan kononnya golongan golongan mahasiswa menyokong mereka jika kumpulan pro-pembangkang yang memenangani pilihan raya kampus di universiti-universiti.
Beliau turut memberi alasan yang agak lapok, kononnya pilihan raya kampus kali ini berat sebelah kerana pelajar pro-pembangkang menghadapi pelbagai tekanan daripada pihak universiti.
“Apa yang ingin banggakan dengan kemenangan kumpulan mahasiswa pro-kerajaan apabila kumpulan yang kritikal terhadap kerajaan sentiasa dihambat dengan pelbagai kekangan dan sekatan,” dakwanya dalam satu kenyataan media semalam.
Syukri dalam pada itu tidak berpuas hati kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memuji kemenangan mahasiswa pro-kerajaan tersebut dengan mendakwa ia cubaan mengheret blok politik ke dalam universiti.
Walhal pemimpin pembangkang sering membawa masuk agenda politik mereka ke universiti hingga sanggup melakukan rusuhan untuk mencapai hasrat menghasut pemikiran golongan muda negara.
Najib dipetik berkata, kemenangan besar mahasiswa pro-kerajaan dalam pilihan raya kampus baru-baru ini membuktikan generasi baharu memahami perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Kemenangan besar mahasiswa pro-kerajaan dalam pilihan raya kampus itu adalah pertama kali dalam sejarah pilihan raya kampus. -Kedahnews.com