PKR "Arah" Penganjur Batalkan Himpunan Rakyat Bersatu 16 September Ini

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika menyertai himpunan haram Bersih 4
KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa pihak yang ingin menganjurkan Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September ini supaya membatalkan hasrat mereka.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendakwa, ia tidak wajar dilakukan walaupun Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhimpunan Aman 2012 membolehkan perhimpunan aman.

“Ia boleh mengakibatkan kebejatan keharmonian dan kaum apatah lagi dicadang di kawasan majoriti kumpulan etnik Cina iaitu Bukit Bintang dan Jalan Petaling.

“Pihak polis wajib bertindak untuk menghentikan sebarang tindakan provokasi perkauman seperti yang dipaparkan oleh poster di Kuala Lumpur yang berkait dengan himpunan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Wan Azizah mendakwa, Himpunan Rakyat Bersatu dengan motif perkauman jika dibiarkan boleh membawa kejatuhan kepada nilai masyarakat dan kewarasan.

“Atas dasar itu, PKR tidak membenarkan ahli-ahlinya menyertai himpunan berkenaan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan telah turun ke Bukit Bintang untuk memberi mesej keamanan kepada semua kumpulan etnik di Malaysia.