Kedai rakyat 1Malaysia |
PUTRAJAYA - Bilangan kedai yang menyediakan perkhidmatan dan barangan pada harga yang berpatutan seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Menu 1Malaysia dan Kedai Buku 1Malaysia akan ditambah, umum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam sidang media mengumumkan langkah-langkah proaktif ekonomi di sini hari ini, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ia antara langkah yang diambil bagi membantu isi rumah terutama golongan berpendapatan rendah menangani kenaikan kos sara hidup.
Najib berkata bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia akan ditambah sebanyak 25 pada tahun ini dan 12 pada 2016 di seluruh negara.
Pada masa ini, terdapat 169 buah Kedai Rakyat 1Malaysia.
Najib berkata kerajaan sedang menyediakan 16 Klinik 1Malaysia pada tahun ini dan 33 buah pada 2016.
Setakat ini, kerajaan telah menyediakan 326 Klinik 1Malaysia, katanya.
"Kerajaan juga akan memperkenalkan langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terbawah," katanya.
Najib berkata kerajaan juga akan mempercepatkan pembinaan rumah-rumah mampu milik untuk memastikan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata Bank Simpanan Nasional dengan kerjasama Kementerian Kewangan menawarkan Skim Perumahan Belia untuk 20,000 pasangan belia berumur 25 hingga 40 tahun yang sudah berkahwin untuk memiliki rumah pertama.
"Dalam skim ini, insentif sebanyak RM200 sebulan selama dua tahun akan diberi kepada pasangan belia bagi menampung ansuran bulanan pinjaman," katanya.
Menurut Najib, skim tersebut ditawarkan kepada pasangan yang mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada RM10,000 dan layak dinikmati bagi hartanah bernilai antara RM100,000 hingga RM500,000.
Pewujudan Skim Perumahan Belia diumumkan oleh perdana menteri semasa pembentangan Bajet 2015 pada Oktober tahun lalu dan ditawarkan berdasarkan konsep 'siapa dulu dia dapat'.
Dalam pada itu, Najib berkata para peminjam individu boleh memohon melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk menstrukturkan dan menjadualkan semula pinjaman daripada institusi pembiaya masing-masing, sekiranya perlu.
Najib turut mengumumkan beberapa langkah untuk menangani masalah pengangguran terutama dalam kalangan belia walaupun mengakui ia masih berada pada tahap terkawal.
Najib berkata antara yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan adalah dengan menambah bilangan graduan bagi program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan Skim Pengurusan Kebolehpasaran Graduan (GEMS) daripada lebih 10,000 tahun ini kepada 15,000 pada 2016.
Katanya usaha itu bakal dilaksanakan dengan bantuan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat mereka dengan kos berjumlah sekitar RM500 juta.
"Graduan ini bukan sahaja akan diberi latihan praktikal di tempat kerja, malah mereka juga akan diberi latihan dalam aspek seperti komunikasi, bahasa serta teknologi maklumat dan telekomunikasi," kata Najib.
Menyentuh mengenai Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang pada masa ini berjumlah RM1.38 bilion, Najib berkata ia akan diperluaskan dan dipertingkatkan untuk melaksanakan program latihan semula serta peningkatan kemahiran pekerja yang diberhentikan oleh majikan berdaftar.
Tambahnya kerajaan juga sedang menimbang langkah-langkah jangka sederhana termasuk menangani peningkatan bilangan pekerja asing kurang mahir yang menyebabkan aliran keluar tunai sebanyak RM28 bilion pada 2014 serta melembapkan pertumbuhan kadar upah tempatan. - Bernama