Polis Kedah Rampas 2.29 Kg Heroin, 263 Gram Syabu, Bernilai RM91,000 Di Jitra


ALOR SETAR - Polis Kedah merampas 2.29 kilogram (kg) heroin dan 263 gram syabu bernilai RM91,000 dalam satu serbuan di tempat letak kereta di Taman Gemilang, Jitra petang kelmarin.
    
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supt Helmi Aris berkata dua lelaki berumur 23 dan 43 tahun, turut ditahan dalam serbuan itu.
    
Beliau berkata dadah ditemui itu disorokkan di dalam sebuah kotak dibalut dengan surat khabar dan dimasukkan ke dalam sebuah beg kecil.
    
"Kita menemui beg mengandungi dadah itu dalam kereta milik salah seorang suspek terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini semalam.
    
Helmi berkata siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu, terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sekitar Jitra dan Changlun, kira-kira dua bulan lepas.
    
Beliau berkata kedua-dua suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
    
Katanya kedua-dua mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 27 September bagi membantu siasatan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
    
Sementara itu, Helmi berkata Polis Kedah menahan sebanyak 10,696 individu dipercayai terlibat dalam pelbagai kesalahan melibatkan dadah dari Januari tahun ini sehingga kelmarin.
    
Sepanjang tempoh itu, katanya polis merampas 72kg heroin, 109kg ganja, 7.9 kg syabu, 7,905 biji pil psikotropik dan 6,194kg daun ketum dengan nilai rampasan berjumlah RM3.4 juta, manakala nilai sitaan sebanyak RM4.2 juta. - Bernama