Serangan bom yang menggegarkan kota Bangkok pada 17 Ogos lalu |
BANGKOK - Polis Thailand akan menghantar sebuah lagi pasukan ke Kuala Lumpur pada Khamis bagi mengumpul lebih banyak maklumat mengenai tiga suspek yang ditahan oleh polis Malaysia berhubung insiden serangan bom yang mengorbankan 20 orang di luar Kuil Erawan di sini, 17 Ogos lepas.
"Dalam lawatan kedua ini, kami akan menghantar pegawai-pegawai yang biasa dengan protokol Malaysia. Pasukan ini mungkin boleh menyoal siasat tiga orang itu," kata Timbalan Ketua Polis Thailand, Jeneral Chaktip Chaijinda pada sidang media sebaik pulang dari Kuala Lumpur pada Rabu.
"Saya tidak pasti jika kita dapat bercakap dengan mereka (tiga orang)...secara prinsip mereka (polis Malaysia) membenarkan kita menyoal siasat suspek tetapi kita perlu lihat," katanya.
Katanya beliau memperoleh maklumat yang berguna semasa lawatan bersama pasukannya ke Kuala Lumpur semalam, sambil menambah polis Malaysia memberi kerjasama yang amat baik.
Chaktip berkata semasa lawatan itu, mereka menemui Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berada du luar negara.
Katanya selain tiga individu yang ditahan itu, mereka turut membincangkan laluan haram yang digunakan oleh sindiket pemerdagangan manusia dan isu-isu lain demi kepentingan bersama.
Isnin lepas, Khalid mengumumkan dua rakyat Malaysia termasuk seorang wanita dan seorang lagi rakyat Pakistan ditahan selepas mereka disyaki terbabit dalam serangan bom di Bangkok.
Sumber: mStar